IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) secara umumnya telah menyelesaikan isu keciciran murid daripada menerima Bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 sekali bayar.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, bagaimanapun peratusan murid yang masih belum menerima BAP di seluruh negara setakat ini disifatkan masih minima dan berada dalam kes terpencil.
Katanya, KPM akan berusaha dalam memastikan tiada mana-mana murid dalam negara ini yang terpinggir daripada menerima insentif kerajaan itu.
“Antara aduan yang diterima KPM berkaitan dengan isu itu adalah berkenaan isu teknikal seperti melibatkan isu perpindahan murid ke sekolah lain dan sebagainya.
“Walau bagaimanapun, saya yakin ia dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau hari pertama sesi persekolahan tahun ini di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanjung Rambutan di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan; Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Pada masa sama, Kah Woh meminta agar mana-mana ibu bapa atau penjaga yang masih belum atau tercicir daripada menerima BAP untuk segera memanjang hal itu kepada KPM.
“KPM bersedia membantu dan akan pastikan BAP itu dapat sampai kepada mereka yang berkenaan,” ujarnya.
Pada Khamis lalu, media melaporkan seramai 95 peratus daripada kesemua murid di seluruh negara sudah menerima pemberian BAP RM150 sekali bayar.
Bantuan sebanyak RM150 bagi setiap murid tahun satu hingga tingkatan lima itu adalah bagi membantu meringankan beban golongan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persiapan membeli barangan keperluan untuk sesi persekolahan anak. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Murid Kembar Tiga Curi Tumpuan Hari Pertama Sesi Persekolahan