37 Perpustakaan Desa dinaik taraf secara berperingkat tahun ini

IPOH – Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sedang menaik taraf 37 perpustakaan desa dengan dilengkapi sistem digital secara berperingkat tahun ini, daripada lebih 500 kemudahan sedia ada.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, kerja-kerja naik taraf berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah kementerian itu melalui program pemeliharaan dan penyelenggaraan dengan kira-kira 60 perpustakaan desa telah dinaik taraf tahun lalu.

“Tahun ini, sebanyak 37 buah perpustakaan desa yang telah kita laksanakan secara berperingkat di seluruh negara. Tahun sebelum ini pun kita telah laksanakan dalam 60 buah. Kita buat secara berperingkat sebab jumlahnya banyak, ada 500 lebih perpustakaan desa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Utara, Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 dan Dekad Membaca Kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Ketua PNM, Edy Irwan Zulkafli.

Dalam pada itu, Yuneswaran berkata, keperluan menaik taraf perpustakaan selari dengan perkembangan semasa dan tidak hanya tertumpu kepada penambahbaikan fizikal, malah perlu merangkumi aspek pendigitalan.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita bukan sahaja menaik taraf secara fizikal, tetapi kita juga menggalakkan digital. Perpustakaan digital sangat penting. Saya juga mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk melawat perpustakaan negara kita yang sekarang sudah canggih dan lebih digital.

37 Perpustakaan Desa dinaik taraf secara berperingkat tahun ini
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran ketika gimik perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Utara 2026, Program Jom Baca 10 Minit dan Dekad Membaca Kebangsaan di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 APRIL 2026.

“Bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi kita juga akan buat perancangan dan berbincang supaya pendigitalan ini bukan sahaja untuk orang bandar, tetapi orang luar bandar juga harus menikmati  pembangunan digital ini. Memang saya menggalakkan dan kita sokong.

“Zaman berubah, jadi pendigitalan juga perlu tetapi pada masa yang sama, buku-buku fizikal masih dikekalkan. Saya sebagai Timbalan Menteri pun masih lagi lebih gemar naskhah fizikal daripada digital, manakala generasi baharu mungkin lebih minat kepada perpustakaan digital,” ujarnya.

Sementara itu, pelbagai pengisian program telah dirangka secara inklusif sepanjang sambutan ini, merangkumi aktiviti berteraskan ilmu, budaya, sukan dan hiburan seperti Bacaan Santai Kopi@Baca, Kembara Belia Cinta Ilmu, Pertandingan Pidato Negara Bangsa, Pesta Buku Perak, persembahan silang budaya serta aktiviti rekreasi yang menyatukan masyarakat.

Selain itu, Anugerah Buku PNM 2025/2026 turut diadakan bagi mengiktiraf karya terbitan tempatan yang berkualiti, berimpak tinggi serta memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ilmu, pemikiran dan peradaban masyarakat.

Anugerah ini dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan karya yang lebih kreatif, inovatif, berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Sebanyak 27 kategori anugerah dipertandingkan bagi memastikan pengiktirafan yang inklusif dan menyeluruh terhadap kepelbagaian karya tempatan termasuklah kategori baharu iaitu Anugerah Pilihan Pembaca Buku Digital, mengambil kira peningkatan penggunaan platform.

Salah seorang penerima adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menerima anugerah kategori Pilihan Pembaca Buku Bercetak Bahasa Melayu menerusi buku bertajuk, ‘Jalan Tegak’ yang diterbitkan pada tahun 2024. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Projek RM3.1 juta naik taraf Perpustakaan Awam Perak siap lebih awal

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI