CIMIC Armada Barat 2026 berjaya kutip 2.55 tan metrik sampah di Pangkor

LUMUT – Sebanyak 2.55 tan metrik sampah berjaya dikutip dan dihantar ke pusat pelupusan menerusi pelaksanaan Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) Armada Barat 2026 di sekitar Pulau Pangkor.

Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam memelihara kebersihan persekitaran serta menyokong usaha pemuliharaan ekosistem marin.

Selain meningkatkan kebersihan dan keceriaan kawasan pesisir, inisiatif berkenaan turut menambah baik kebolehcapaian ke kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan warisan, memberikan manfaat kepada penduduk setempat serta menyokong kelestarian alam sekitar di Pulau Pangkor.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) dalam kenyataan memaklumkan, program yang berakhir semalam itu turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat, kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan warisan tempatan.

Menurutnya, majlis penutupan program itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah, yang berkenan bercemar duli meninjau pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

“Keberangkatan baginda ke Pulau Raja atau dikenali sebagai Pulau Pelandok, Pulau Giam dan Teluk Kechil, Pulau Pangkor, mencerminkan sokongan Institusi Diraja terhadap inisiatif TLDM dalam memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik dengan komuniti maritim setempat.

“Program yang berteraskan pendekatan kerjasama awam-tentera itu menghimpunkan warga TLDM, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti yang memfokuskan kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan tempatan.

CIMIC Armada Barat 2026 berjaya kutip 2.55 tan metrik sampah di Pangkor
Majlis penutupan program CIMIC Armada Barat 2026 diserikan dengan keberangkatan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah, yang berkenan bercemar duli meninjau pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di sekitar Pulau Pangkor. Foto Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM Lumut

“Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pembersihan dasar laut dan penyediaan kawasan menyelam di Pulau Giam, kerja-kerja keceriaan di Sekolah Kebangsaan Seri Pangkor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor, pembersihan pantai di Teluk Segadas serta pembersihan laluan menuju ke tapak tinggalan sejarah di Pulau Raja,” katanya.

Katanya, program tersebut membuka tirainya pada 27 Oktober lalu menerusi Program Pelayaran TLDM bersama pelajar yang memberi peluang kepada generasi muda merasai pengalaman berada di atas kapal TLDM.

“Ia turut memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu kelautan, keselamatan maritim serta peranan dan tanggungjawab TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

“Penyertaan pelajar dalam program berkenaan juga bertujuan menyemai minat terhadap bidang maritim, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan perairan negara serta membuka ruang kepada mereka untuk meneroka peluang kerjaya dalam perkhidmatan TLDM.

“Secara keseluruhan, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Armada Barat dalam memperkukuh kerjasama awam dengan tentera melalui pendekatan inklusif, bersepadu serta berorientasikan manfaat kepada masyarakat.

“Peranan TLDM bukan sahaja tertumpu kepada aspek pertahanan dan keselamatan maritim, malah turut merangkumi tanggungjawab sosial dalam menyokong kesejahteraan rakyat, memelihara alam sekitar serta membangunkan komuniti pesisir,” ujarnya.

TLDM akan terus mempergiat pelaksanaan inisiatif kemasyarakatan berimpak tinggi bagi mempererat hubungan dengan rakyat, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap organisasi serta memupuk semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Buang sampah: Perintah Khidmat Masyarakat beri kesan positif – Kor Ming

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI