Seorang pencuri kabel cedera manakala rakan sepenjenayahnya diburu

IPOH – Seorang pencuri kabel cedera manakala rakannya berjaya meloloskan diri selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kampung Rapat Jaya, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kes kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) melibatkan dua suspek terbabit di Jalan Pasir Mas, Taman Mayfair sekitar jam 5 pagi.

Menurutnya, selepas menerima maklumat tersebut anggota dari Balai Polis Pasir Puteh bertindak menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan serta melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara.

“Hebahan dilakukan untuk bantuan di mana dua buah kereta peronda ditugaskan mengejar kereta dinaiki suspek sebelum kenderaan itu terbabas sendiri,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, insiden itu mengakibatkan salah seorang suspek berusia 58 tahun tersepit manakala rakannya berjaya melarikan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas kenderaan tersebut menemukan barang kes curi kabel TM.

“Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan disahkan mengalami patah tulang selangka kanan,” katanya.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kabel dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kita sedang giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Hakim Al Balkhis di talian 011-1125 6246,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Leka curi kabel TM, tiga lelaki dicekup polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI