Panel pembahagi elektrik punca kebakaran Mydin Manjoi

IPOH – Panel pembahagi elektrik atau distribution board dikenal pasti menjadi punca kebakaran pasar raya Mydin Manjoi, 10 Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, selain itu, pihaknya juga akan menambah baik kaedah-kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) pemadaman susulan kejadian tersebut.

“Kita telah selesaikan siasatan untuk kes kebakaran Mydin yang telah dibawa ke ibu pejabat dan kenal pasti punca kejadian.

“Punca kejadian utama yang berlaku di bilik stor ini melibatkan salah satu daripada distribution board ataupun panel pembahagi elektrik jadi itu dapatan kita.

“Pada masa yang sama, kita juga melihat bagaimana orang cakap api tak padam itu untuk kita tambah baik kepada kaedah-kaedah ataupun SOP yang kita akan buat,” katanya.

Panel pembahagi elektrik punca kebakaran Mydin Manjoi
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad ketika hadir pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAC 2024.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata, pelbagai penemuan yang pihaknya dapat serta belajar daripada kejadian kebakaran pasar raya Mydin antaranya melibatkan pemasangan panel solar di bangunan.

“Kita akan buat penambahbaikan dan salah satu daripada elemen utama juga kita tengok bagaimana kita harus ada kawalan terhadap pemasangan panel solar,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia untuk menetapkan SOP berhubung saiz dan juga susunan panel solar apabila dipasang di rumah atau mana-mana premis.

Panel pembahagi elektrik punca kebakaran Mydin Manjoi
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad menyampaikan sijil kepada anggota bomba pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAC 2024.

Dalam kejadian 10 Mac itu, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat kepulan asap kelihatan keluar dari bilik papan suis utama di tingkat atas pasar raya Mydin di Manjoi sekitar jam 7.09 malam.

Bagaimanapun, api semakin marak sehingga pasukan bomba diatur gerakkan ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.

Operasi melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Ipoh, Simpang Pulai, Pasir Puteh serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru, Bercham, Chemor dan Pusing itu berjaya mengawal kebakaran kira-kira 12 tengah malam.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin mendedahkan kerugian pasar raya besarnya di Manjoi yang terbakar mencecah RM50 juta. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba diarahkan keluar selepas dinding kanan bangunan runtuh

Mydin akan keluar kenyataan rasmi

Mydin Manjoi terbakar: Nilai kerugian dianggarkan RM50 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI