IPOH – Kontraktor yang terlibat dalam insiden langgar lari sehingga menyebabkan kematian dua beradik di Kilometer (KM) 38 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak Jaya dekat Sungai Siput awal pagi semalam ditahan reman mulai hari ini selama empat hari sehingga Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, perintah reman ke atas suspek berusia lingkungan 50-an itu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Perintah reman tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Sabtu.
Terdahulu, suspek yang berpakaian serba hitam tiba di pekarangan IPD Ipoh pada jam 10 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira 50 minit kemudian selepas proses reman selesai.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan,13, maut apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar lari sebuah pacuan empat roda dalam kejadian jam 7.10 pagi itu.
Bagaimanapun, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak berjaya memberkas pemandu pacuan empat roda terbabit di sebuah kebun sawit sekitar Salak Baru sekitar jam 1.20 petang.
Ujian saringan air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux itu bagaimanapun mendapati lelaki yang bekerja sebagai kontraktor terbabit negatif dadah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: