Obesiti: Tiada peruntukan untuk ‘ubat cucuk kurus’ dalam Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus untuk rawatan GLP-1 seperti ubat seperti Ozempic dan Mounjaro yang digunakan bagi merawat pesakit diabetes jenis 2 dan juga obesiti dalam Belanjawan 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan sebelum ini boleh mendapatkannya menerusi mekanisme Ubat Kelulusan Khas (UKK) menggunakan peruntukan sedia ada Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, sebanyak 240 permohonan rawatan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September lalu dengan melibatkan kos keseluruhan bernilai RM2.56 juta.

“Rawatan GLP-1 digunakan bagi merawat pesakit diabetes jenis 2 dan juga obesiti, tertakluk kepada indikasi klinikal.

“Walau bagaimanapun, rawatan obesiti perlu dilaksanakan secara individual iaitu disesuaikan mengikut keadaan kesihatan, tahap obesiti, komorbiditi dan keperluan setiap pesakit.

“Penggunaan GLP-1 perlu berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor serta disertai intervensi bukan farmakologi, termasuk pemakanan sihat dan aktiviti fizikal, bagi membantu mengawal diabetes dan mengurangkan berat badan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai jumlah pesakit obesiti dan diabetes yang menerima rawatan glucagon-like peptide-1 receptor agonist (GLP-1 RA) serta peruntukan disediakan kerajaan bagi rawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM komited untuk memastikan pesakit obesiti dan diabetes mendapat pengurusan yang rapi dan berterusan melalui pendekatan rawatan bersepadu.

Katanya, pendekatan itu merangkumi perubahan gaya hidup, pemakanan sihat, aktiviti fizikal, rawatan ubat-ubatan termasuk pembedahan bariatrik bagi pesakit yang memerlukannya.

Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan melalui program Multidisciplinary Integrated Management of Obesity (MIMO) di 33 Klinik Kesihatan dengan sokongan pakar di 13 hospital rujukan.

“Obesiti bukan sekadar faktor risiko tetapi merupakan penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan pengurusan berterusan.

“Berdasarkan Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Obesiti KKM, individu dengan Indeks Jisim Badan (BMI) iaitu ukuran berat badan berdasarkan ketinggian seseorang, melebihi 27 kg/m² atau BMI melebihi 30 kg/m² serta mempunyai penyakit berkaitan seperti diabetes, hipertensi atau dislipidemia, perlu menjalani penilaian klinikal bagi menentukan rawatan yang bersesuaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI