BAGAN DATUK – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikenal pasti berada di kawasan berisiko dilanda banjir besar akan dipindahkan ke sekolah yang mempunyai kemudahan asrama bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada persediaan yang dilakukan kerajaan bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Menurut beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.
“Beliau menyatakan kepada saya, di kawasan-kawasan yang dijangka berlaku banjir besar, pelajar-pelajar ini telah dikenal pasti dan akan dipindahkan di sekolah-sekolah yang mempunyai asrama.
“Ia bertujuan memastikan mereka semua dapat mengambil peperiksaan ditempat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas hadir ke Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, di sini, pada Ahad.
Tambah Ahmad Zahid, Lembaga Peperiksaan Malaysia juga telah bersiap siaga dalam menghadapi kemungkinan berkenaan.

Untuk rekod Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memaklumkan seramai 420,879 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2026 yang akan dilaksanakan mulai 26 Oktober hingga 17 Disember depan melibatkan 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, persediaan itu dibuat ketika kerajaan memperkukuh langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka membawa risiko banjir di beberapa kawasan.
Katanya, kerajaan dan agensi berkaitan telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi menerima jumlah hujan luar biasa berdasarkan panduan dan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Kita telah mengadakan sistem amaran awal untuk memindahkan mereka yang dijangka menjadi mangsa banjir ini ke kawasan-kawasan yang selamat,” katanya. -MG Perak


