ZapaRun 2026 bawa konsep berlari sambil berwakaf

IPOH – Konsep berwakaf sambil menyihatkan badan menjadi kelainan ZapaRun 2026 anjuran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) apabila berjaya mengumpulkan lebih RM15,000 sumbangan wakaf tunai untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Md Tajuri berkata, penganjuran julung kali itu mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan 700 peserta, melebihi sasaran awal sebanyak 500 orang.

Menurutnya, sambutan menggalakkan itu membuktikan zakat dan wakaf tunai terus mendapat sokongan masyarakat, selain meningkatkan keterlihatan ZAPAR dalam kalangan orang ramai.

“Penganjuran ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan ZAPAR, malah membuktikan bahawa zakat dan wakaf tunai terus dipandang tinggi dan mendapat sokongan masyarakat.

“Lebih membanggakan, larian ini turut disertai oleh peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan agama, termasuk dari luar negara seperti Thailand dan Indonesia,“ katanya selepas menyempurnakan acara pelepasan peserta ZapaRun 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, konsep wakaf diterapkan sejak peringkat pendaftaran apabila peserta dimaklumkan bahawa sebahagian daripada yuran penyertaan akan disumbangkan kepada projek wakaf yang bakal dilaksanakan MAIPk.

Katanya, setiap yuran penyertaan merangkumi sumbangan wakaf tunai sebanyak RM10 menerusi platform ZAPAR yang menjadikan program itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah platform untuk memupuk budaya berwakaf dalam kalangan masyarakat.

ZapaRun 2026 bawa konsep berlari sambil berwakaf
Lebih 700 peserta menyertai ZapaRun 2026 yang diadakan di Ipoh, hari ini. Foto ZAPAR

“Daripada awal lagi, kita nak menyuburkan ibadah wakaf. Jadi waktu mereka mendaftar pun kita dah bagi maklumat bahawa sebahagian daripada yuran penyertaan tu akan disumbangkan kembali kepada projek wakaf yang akan dilaksanakan oleh MAIPk.

“Kita mahu masyarakat dalam keadaan mereka dapat hasil. Selain, badan sihat mereka turut menyumbang wang kepada projek wakaf ini dan akhirnya kita akan manfaatkan kembali kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Contohnya seperti kos dialisis. Kalau mereka terpaksa bayar lebih kurang dalam RM3,000 sebulan, kita akan bayar tak sampai RM3,000 disebabkan pusat rawatan dialisis tu sendiri adalah wakaf. Jadi kita  membantu mengurangkan kos,“ jelasnya.

Ahmad Nazim berkata, kemudahan pusat rawatan dialisis berasaskan wakaf berpotensi membantu mengurangkan beban kos rawatan pesakit, yang boleh mencecah kira-kira RM3,000 sebulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak penganjur terpaksa menutup pendaftaran lebih awal selepas jumlah penyertaan melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Kita pun tak sangka penyertaan kali ini dapat sambutan luar biasa. Sasaran kita sekitar 500 peserta tetapi kita terpaksa tutup awal (pendaftaran) disebabkan sudah melebihi had yang dianggarkan.

“InshaAllah kalau diizinkan tahun hadapan, kita akan buat lagi dan akan uar-uarkan lebih awal supaya lebih ramai lagi dapat menyertai program larian sambil berwakaf ini,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PCSH Pink and Purple Fun Run, bawa mesej kesedaran kanser

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI