QR kod untuk pelepasan di CIQ dan KSAB mulai Jun ini

ISKANDAR PUTERI – Bermula pertengahan Jun ini, sistem Kod QR akan mula diguna pakai bagi pelepasan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi melihat sendiri kelancaran trafik di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, fasa pertama hanya akan melibatkan penumpang bas kilang.

Dianggarkan seramai 5,000 penumpang bas kilang pada setiap waktu puncak akan terlibat untuk fasa pertama di kedua-dua laluan BSI dan juga KSAB.

Jumlah ini melibatkan sebanyak 120 buah bas.

Penggunaan Kod QR juga akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat dengan sasaran pelaksanaan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Insya-Allah sistem ini akan mula dilaksana pada pertengahan bulan enam tahun ini dan kerajaan negeri sedia bantu pelaksanaannya bagi memastikan ia berjalan lancar seperti diharapkan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Sidang DUN Johor, ketika diminta mengulas mengenai langkah berkenaan .

Tambah Mohamad Fazli, pelaksanaan Kod QR bagi pengembara awam termasuk yang menggunakan kenderaan persendirian pula akan melibatkan penumpang secara berkumpulan.

“Memang masih perlu bawa pasport, tetapi pasport itu tidak perlu ditunjuk sebaliknya mencukupi ditunjukkan Kod QR yang dihasilkan melalui sistem berkenaan.

“Mungkin satu kod boleh digunakan untuk lima orang, itu lagi mudah. Sebagai contoh, satu kereta ada lima orang dan pemandu hanya perlu turunkan tingkap, tunjuk kesemua lima orang dan tunjuk satu Kod QR. Sekiranya tiada masalah boleh jalan,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, pelaksanaan sistem Kod QR di CIQ BSI dan juga KSAB akan memendekkan tempoh waktu proses pemeriksaan Imigresen sekali gus mempercepatkan pergerakan keluar masuk di kedua-dua pintu sempadan negara berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Fazli turut memaklumkan, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan berhubung prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan di negeri ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang berharap kesesakan jalan akibat kerja-kerja naik taraf khususnya pada waktu puncak ketika DUN Johor sedang bersidang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI