IPOH – Menjengah usia ke-47, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) terlibat dengan pembangunan empat pusat pendidikan Islam iaitu di Kuala Kangsar, Chemor dan Tapah.
Setiausaha KBGK, Norali Nordin berkata, terkini sebuah lagi pusat pendidikan Islam sedang dalam pembinaan dan hampir siap 90 peratus iaitu Kompleks Tahfiz Addin 11 di Kampung Sungai Ular, Kampung Kepayang, Gopeng.
Katanya, projek yang mula dibina pada dua tahun lalu itu menelan belanja RM2.2 juta hasil kutipan dan sumbangan tunai ahli-ahli NGO berkenaan.
“Projek ini akan menempatkan 100 pelajar perempuan yang ia dijangka siap pada penghujung Jun depan.
“Pembangunan projek kompleks tahfiz ini dibina di atas tanah wakaf berkeluasan 2.5 ekar, dan ia bakal dilengkapi dengan bangunan bilik darjah, asrama, surau, pejabat dan kantin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Penubuhan KBGK Ke-47 tahun di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu, Sungai Rapat, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Presiden KBGK Muhammad Hamzah Md Hamdan.
Dalam pada itu, Norali memberitahu, pihaknya juga sedang giat menjalankan program kampung angkat yang melibatkan penempatan Orang Asli di Kampung Lalang, Simpang Pulai.
Menurut beliau, seorang pendakwah telah ditempatkan di kampung berkenaan sejak 10 tahun lalu dan kini kira-kira 90 peratus penduduk di situ memeluk Islam.
Di samping itu, beliau berkata, NGO yang berteraskan kepada kebajikan itu juga turut terlibat dengan projek sekolah angkat di daerah Sungai Siput membabitkan Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sekolah Kebangsaan Lintang serta Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong.
“Ketika ini, kami dalam perancangan untuk membangunkan sebuah lagi rumah anak-anak yatim iaitu di Kampung Melayu, Sungai Rapat. Ia dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun lagi,” ujarnya. – MG Perak