Rumah sewa, barang perniagaan dan wang lesap dihanyut banjir

BUKIT GANTANG – Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah situasi seorang pengusaha kosmetik dan produk herba, Alias Awang, 56, apabila rumah sewanya musnah dihanyutkan air sungai dalam kejadian banjir di Kampung Jelutong, Changkat Ibol, di sini, awal pagi Jumaat.

Beliau yang baharu sahaja bangkit semula dalam perniagaan selepas mengalami kerugian teruk ekoran pandemik Covid-19, kini diuji sekali lagi apabila barangan perniagaan termasuk wang deposit menyewa kedai dan simpanan hanyut dalam kejadian banjir berkenaan.

Menurut Alias, ketika kejadian dia berada di Pulau Pinang bagi menguruskan urusan menyewa kedai di sana sebelum menerima panggilan meminta dia pulang untuk mengeluarkan barang-barangnya dari rumah sewa berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua, kiri) melihat bingkai rumah milik mangsa banjir, Alias Awang, 56 (dua, kanan) dilanda banjir pada malam Khamis, mengakibatkan rumahnya roboh ketika tinjauan MG Perak di sana, pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2024.

Bagaimanapun dia tidak dapat pulang ekoran mempunyai masalah penglihatan dan tidak boleh memandu pada waktu malam serta hujan lebat.

“Mereka beritahu bahawa tanah di bawah rumah sewa saya sudah rebak dan berlubang, lalu saya menyuruh mereka mengambil kunci simpanan yang saya simpan sekitar kediaman untuk menyelamatkan barang-barang.

“Tetapi mereka tidak berani untuk naik memandangkan keadaan rumah saya sangat getir ibarat baling bata ia pasti akan roboh dan jatuh ke dalam Sungai Bukit Gantang,” katanya ketika ditemui di tapak kediamannya.

Bercerita lanjut, Alias berkata, dia dimaklumkan rumah sewanya itu roboh dan dihanyutkan air sungai sekitar jam 2.30 pagi pada Jumaat dan tiada apa yang dapat diselamatkan.

“Habis semua barang-barang saya termasuk peralatan berniaga, wang simpana dan deposit sewa kedai, senang kata saya tinggal sehelai sepinggang dan hanya nyawa asih dipinjamkan Allah S.W.T,” katanya.

Pengusaha produk kosmetik dan herba, Alias Awang, 56 menceritakan kembali saat rumahnya dilanda banjir mengakibatkan kediamannya roboh ketika tinjauan MG Perak di sekitar Trong, pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2024.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang hadir meninjau situasi banjir memaklumkan pihaknya akan membantu Alias membina semula kediaman beliau.

Ujar Syed Abu Hussin, bantuan segera sebanyak RM500 telah diberikan kepada Alias dan dia telah mengarah pegawainya untuk melihat tanah yang dimiliki mangsa dilokasi lain untuk dibina sebuah rumah.

“Kita akan bina sebuah rumah untuk Alias dengan kadar segera menggunakan peruntukan rumah mesra rakyat (RMR) yang diberikan kepada saya sebagai Ahli Parlimen.

“Semoga dengan bantuan diberikan ini dapat meringankan bebannya dan menjadi penguat semangat selepas apa yang berlaku,” katanya.

Beliau turut berkata, sebanyak RM75,000 telah diperuntukkan kepada 150 buah keluarga yang terjejas di Parlimen Bukit Gantang dalam kejadian banjir yang berlaku pada Jumaat. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Warga emas randuk air banjir paras pinggang ke PPS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI