Warga emas randuk air banjir paras pinggang ke PPS

BUKIT GANTANG – Banjir yang berlaku di beberapa kampung sekitar Trong, di sini, pada awal pagi Jumaat disifatkan sebagai yang terburuk pernah melanda berbanding 2018.

Ini kerana hujan lebat luar biasa pada petang Khamis menyebabkan berlakunya ban pecah dan limpahan air sungai memasuki kediaman penduduk sehingga paras pinggang.

Bagi warga emas, Zainab Saad, 70, dari Kampung Temelok, kejadian banjir berkenaan berlaku begitu pantas hingga dia terpaksa meranduk air paras pinggang untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

Menceritakan detik kejadian, Zainab yang tinggal bersama adik lelakinya yang mengalami strok dibawa keluar oleh anak saudaranya yang datang membantu menyelamatkan mereka serta barang berharga.

“Semasa kejadian mak cik tersedar jam 2 pagi untuk ke dapur bila pijak lantai terasa ada air bila tengok ke bawah air sedang masuk dari pintu belakang.

“Tidak sampai setengah jam air menderu masuk dan bukan dari sungai depan rumah tapi dari ban belakang yang dikatakan pecah, terus mak cik selamatkan barang yang boleh diangkat,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Warga emas, Zainab Saad, 70, dari Kampung Temelok, Trong, mengenang nasib kediamannya yang dimasuki air banjir. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2024.

Menurut Zainab, kediamannya pernah dinaiki air banjir semasa Ramadan pada 2018 namun ia tidak seteruk yang berlaku semalam hingga ke paras pinggang.

“Enam tahun lalu banjir juga tapi tidak seteruk kali ini, air masuk rumah begitu laju dan diluar sampai paras pinggang.

“Bila jadi macam ini mak cik mula risau akan berulang lagi atau mungkin lebih teruk sebab mak cik duduk dengan adik berdua sahaja, kami sudah tua,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tat Beng, Ahmad Fariz Yusof berkata, banjir yang berlaku di sekolahnya itu merupakan yang terburuk serta turut merosakan beberapa harta sekolah.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tat Beng, Ahmad Fariz Yusof. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2024.

Dia yang berkhidmat sejak 2021 di sekolah berkenaan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengawal keselamatan pada jam 3 pagi memaklumkan air melimpah masuk ke kawasan sekolah hingga paras pinggang.

“Dia tunjuk video dan gambar air sudah masuk ke kawasan sekolah dan menjelang jam 5 pagi kawasan sekolah sudah ditenggelami air dan tiada apa yang sempat diselamatkan.

“Bahagian yang terjejas teruk akibat banjir adalah kelas-kelas di lapisan bawah serta makmal seperti makmal sains, bilik kaunseling dan koperasii,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan banjir telah dilakukan sejak semalam dan disambung hari ini melibatkan Majlis Belia Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru sekolah dan alumni.

Guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tat Beng, Trong membersihkan sekolah mereka yang dinaiki air banjir. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2024.

“Buat masa ini saya telah minta setiap guru kelas dan bilik khas terlibat agar senaraikan anggaran kerosakan dan saya akan menyediakan laporan keseluruhan,” katanya.

MG Perak pada Jumaat melaporkan lebih 560 mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini iaitu LMS, Hilir Perak dan Kuala Kangsar dipindahkan ke 11 PPS selepas air memasuki kediaman mereka.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temelok menjadi PPS paling ramai mangsa banjir dipindahkan dalam kejadian kali ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

150 mangsa banjir di Perak dipindahkan di enam PPS

Banjir di Perak memburuk, 537 mangsa dipindahkan ke 10 PPS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI