IPOH – Hospital Pakar KPJ Ipoh (KPJ Ipoh) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak menyahut seruan kerajaan dengan menanam 173 jenis pokok dalam usaha penghijauan alam.
Projek penanaman pokok ini adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan kerajaan sejak 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Utara dan Pantai Timur) KPJ Healthcare Berhad, Zabidi Abdul Razak berkata, projek penanaman pokok berskala besar julung kalinya diadakan oleh KPJ Ipoh diadakan di Hutan Simpan Bukit Kinta di laluan Simpang Pulai – Cameron Highlands.
Menurutnya, tujuan utama projek tersebut adalah untuk bersama-sama memelihara bumi daripada terus mengalami perubahan iklim yang tidak menentu di samping mewujudkan kesedaran dalam kalangan warga kerja serta rakyat Malaysia untuk bersama0sama memelihara alam sekitar.
“Tanggungjawab penghijauan dan pemeliharaan alam sekitar bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa malah menjadi kewajipan semua untuk turut serta melaksanakannya.
“Sebagai salah satu barisan hadapan dalam bidang kesihatan, kita tidak terkecuali untuk menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.
“Malah, KPJ Ipoh telah mula aktif dalam usaha penghijauan alam menerusi program ‘No Plastic Campaign’, penanaman sayur-sayuran di sekitar KPJ Ipoh, kempen pengumpulan barang terpakai serta projek pengumpulan minyak masak terpakai,” ujar beliau.
Hadir sama, Pegawai Hutan Daerah Kinta/Manjung, Azqan Dalila Ahmad Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Badrul Hisyam Ibrahim.
Beliau juga turut menekankan tentang isu ‘biopiracy’ yang kini hangat diperkatakan dan menyeru semua warga kerja dan masyarakat untuk memelihara khazanah alam semulajadi di Malaysia supaya harta bernilai ini dijaga dengan baik.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas usaha mereka sebagai barisan hadapan dalam mengekalkan kelestarian alam dan memastikan alam sekitar kita sentiasa terpelihara,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
10,000 pokok bakal di tanam di Taman Alam Kinta