IPOH – Seramai 986 mangsa daripada 352 keluarga yang terjejas akibat banjir masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah di Perak malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 636 mangsa daripada 241 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.
Menurutnya, PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar, SK Simpang, SK Matang dan SK Matang Gelugor yang menempatkan penduduk dari Kampung Berjaya, Sungai Rotan, Kampung Batu 23, Taman Simpang Makmur, Taman Kota Jaya, Kampung Matang dan Kampung Matang Gelugor.
“Di Kerian pula, seramai 69 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Bukit Merah.
“Selain itu, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh turut ditempatkan di SK Bukit Merah. Mereka merupakan penduduk yang tinggal di belakang gerai dan di tepi kolam Bukit Merah,” katanya hari ini.
Sementara itu, di Hilir Perak, seramai 117 mangsa daripada 36 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
“Mereka yang terlibat adalah penduduk dari Kampung Batu 6 Changkat Jong, Kampung Batu 7 Changkat Jong, Kampung Batu 7½ Jalan Changkat Jong, Kampung Batu 8 Changkat Jong Felcra, Kampung Batu 9 Changkat Jong dan Kampung Batu 10 Changkat Jong.
“Seramai 129 mangsa daripada 37 keluarga berlindung di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, membabitkan penduduk Kampung Padang Serai dalam daerah Manjung.
“Manakala di Kampar, seramai 23 penduduk daripada sembilan keluarga dari Kampung Lalang ditempatkan di PPS SK Kota Bharu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 9.29 meter manakala Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang merekodkan bacaan amaran iaitu 22.21 meter. – MG Perak
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 9.29 meter manakala Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang merekodkan bacaan amaran iaitu 22.21 meter. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Perak: Tiada sekolah ditutup setakat ini, persediaan SPM dipantau


