MCMC turunkan 13,883 kandungan pemalsuan imej hingga 31 Oktober lalu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 13,883 kandungan pemalsuan imej atau deepfake susulan aduan orang ramai sejak 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC turut menyiasat 61 kes berkaitan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Oktober dengan 10 kes didakwa di mahkamah.

“Daripada 10 kes yang didakwa itu, enam sudah mendapat keputusan mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda RM19,500, manakala empat lagi masih dalam prosiding.

“Selain itu, tujuh kes ditawarkan kompaun berjumlah RM755,000 dan 17 surat amaran telah dikeluarkan, manakala baki 27 kes pula merangkumi kes yang masih dalam peringkat siasatan serta yang telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), mengenai strategi kerajaan menangani peningkatan kandungan deepfake dan berita sintetik, yang dihasilkan menggunakan AI yang menyamar sebagai pemimpin, institusi atau individu bagi tujuan penipuan serta manipulasi maklumat.

Fahmi berkata, kerajaan memandang serius penyalahgunaan teknologi AI khususnya penghasilan kandungan deepfake, pemalsuan identiti dan penyebaran maklumat palsu, dengan tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta 588, sekiranya memenuhi elemen kesalahan yang ditetapkan.

Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 566) turut menyediakan mekanisme kawal selia bagi menangani kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk kandungan dijana menggunakan AI sekiranya tergolong dalam kategori berkenaan.

Katanya, Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang berkuat kuasa pada 1 Jun, mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen menyediakan mekanisme mengenal pasti, menilai dan menangani kandungan memudaratkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI