IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya memindahkan seekor gajah liar jantan seberat lebih dua tan dari Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Ulu Kinta di sini, hari ini.
Operasi yang mengambil masa hampir lima jam, bermula dari jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam 1 petang itu melibatkan seramai 42 anggota Perhilitan serta agensi berkaitan.
Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, operasi pemindahan mamalia berkenaan turut dibantu dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Sanum dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.
Menurutnya, gajah jantan yang diberi nama Yeop Tonggang itu akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu bagi memastikan keselamatan penduduk setempat selain mengurangkan risiko konflik antara manusia dan hidupan liar.
“Kita menerima aduan daripada penduduk setempat di kawasan Tanah Hitam, Kampung Orang Asli Sungai Tonggang dan Ulu Kinta berhubung kemunculan gajah berkenaan sejak April lalu.
“Gajah yang berasal dari Hutan Simpan Piah, Lenggong itu dipercayai memasuki kawasan tersebut untuk mencari sumber makanan.

“Selain itu, antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan gajah liar memasuki kawasan berkenaan ialah gangguan terhadap habitat asalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas sama ada gajah berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan kebun buah-buahan di Bukit Bangkong, Chemor baru-baru ini, beliau mengesahkan haiwan itu adalah sebahagian daripada kumpulan sama.
Dalam pada itu, Pazil mengakui terdapat peningkatan kes konflik antara manusia dan gajah di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.
“Sehubungan itu, kita merancang mengambil langkah jangka panjang termasuk memasang pagar elektrik serta melaksanakan pemantauan dan kawalan gajah secara berkala bagi mengelakkan haiwan liar kembali memasuki kawasan penempatan penduduk.
“Langkah berkenaan juga bertujuan mengurangkan risiko ancaman terhadap keselamatan penduduk serta memastikan konflik antara manusia dan hidupan liar dapat dikawal,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial kehadiran Yeop Tonggang telah menimbulkan gangguan kepada penduduk, khususnya masyarakat Orang Asli, apabila tanaman dan kawasan mereka turut terjejas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


