Penduduk tak lena tidur, gajah liar lalu tepi rumah

SUNGAI SIPUT – Penduduk Kampung Perlop 1 di sini, hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan gajah liar di sekitar kediaman mereka sejak hujung tahun lalu, selain memusnahkan tanaman dan mengancam keselamatan.

Seorang penduduk, Azhar Jamaludin, 71, berkata, kehadiran haiwan liar itu pada waktu malam menimbulkan ketakutan, terutama apabila ia melalui kawasan tepi rumahnya untuk mencari makanan terutamanya pokok yang baru ditanam.

Menurutnya, pergerakan gajah berkenaan kadangkala tidak disedari kerana haiwan itu bergerak perlahan dan tidak mengeluarkan bunyi yang jelas ketika melalui kawasan kediaman.

Penduduk tak lena tidur, gajah liar lalu tepi rumah
Penduduk Kampung Perlop 1, Azhar Jamaludin, 71, di Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2026.

“Setiap malam rasa bimbang, takut, gajah lalu tepi rumah. Kalau jumpa (pokok), lapar, dia (gajah) makan. Pernah sekali, lima pokok kelapa dia tumbang.

“Gajah liar itu selalu datang lepas Isyak atau tengah malam sewaktu kita tengah tidur,” katanya selepas menghadiri pertemuan bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, pekebun kelapa sawit di Rancangan Tanah Belia Khas (RTBK) Kampung Perlop 1 telah diserang gajah liar pada 10 dan 16 Oktober lalu memusnahkan tanaman kelapa sawit milik 25 pemilik ladang atau tanah, dengan anggaran keluasan kawasan tanaman terjejas mencecah 101 hektar melibatkan pelbagai jenis tanaman.

Katanya, keadaan semakin membimbangkan kerana perkara ini didakwa telah berlarutan sejak hujung tahun lalu.

Sehubungan itu, Azhar berharap pihak berkuasa terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mempertimbangkan pemindahan gajah liar berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang dan menjejaskan kehidupan penduduk.

Penduduk tak lena tidur, gajah liar lalu tepi rumah
Penduduk Kampung Perlop 1, Mastura Yusuf, 65, di Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2026.

Seorang lagi penduduk, Mastura Yusuf, 65, berkata, kejadian 28 ekor kambing miliknya menjadi mangsa serangan harimau kumbang kira-kira dua tahun lalu, ketika awal Muharam, masih segar dalam ingatannya.

Dia berkata, haiwan liar itu dipercayai menyerang 28 ekor kambing miliknya pada awal pagi, sebelum menemui haiwan ternakannya bergelimpangan ketika memeriksa kandang berkenaan.

Pada masa sama, Mastura juga turut terkesan selepas kebun sawit yang diusahakan juga musnah akibat serangan gajah liar baru-baru ini.

“Harapan kita sebagai pekebun yang dalam kerisauan ini kalau boleh pihak Perhilitan ambil tindakan yang lebih serius.

“Memang mereka ada bawa dron, tembak dengan pelali dan kalau boleh mereka datang lebih kerap. Kalau boleh pihak Perhilitan dapat atasi masalah ini dengan pindahkan gajah ini ke tempat lain,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Translokasi gajah liar di Sungai Siput sukar berikutan muka bumi mencabar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI