IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan memfokuskan empat strategi utama bagi memastikan momentum pembangunan ekonomi negeri terus diperkukuh menjelang 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, persaingan menarik pelaburan yang semakin sengit, perkembangan teknologi serta perubahan keperluan industri menuntut semua jabatan dan agensi berkaitan bertindak lebih proaktif dalam memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.
Menurutnya, strategi pertama adalah dengan mempercepatkan realisasi pelaburan dengan memastikan projek yang telah mendapat kelulusan dipantau serta dipermudah pelaksanaannya.
“Sebarang kekangan berkaitan urusan tanah, kelulusan, utiliti atau penyelarasan antara agensi hendaklah ditangani dengan segera supaya pelaburan yang dirancang dapat diterjemahkan kepada kegiatan ekonomi sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada program Perak Economic Outlook 2027 di Hotel Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Bagi strategi seterusnya, Saarani menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri menerusi kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan, pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri.

“Kita tidak mahu peluang pekerjaan tersedia, tetapi anak-anak Perak terlepas peluang kerana kekurangan kemahiran yang bersesuaian.
“Selain itu, kesiapsiagaan infrastruktur turut menjadi keutamaan kerajaan negeri khususnya dari segi perancangan bekalan air, tenaga, pengangkutan, logistik dan kemudahan digital yang perlu diselaraskan dengan jadual pembangunan industri.
“Jangan sampai pelaburan yang telah berjaya dibawa masuk terpaksa menunggu kerana kemudahan asas belum tersedia,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam ekosistem pembangunan ekonomi negeri juga perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
Katanya, agensi berkaitan perlu membantu perusahaan tempatan meningkatkan keupayaan, memenuhi piawaian industri serta mendapatkan akses kepada peluang perolehan dan rantaian bekalan syarikat besar yang beroperasi di Perak.
Sehubungan itu, Saarani berharap empat strategi tersebut dapat diterjemahkan menerusi tindakan yang tersusun, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta penyelarasan berkesan antara semua pihak terlibat.
“Kejayaan kita membawa masuk pelaburan mesti diikuti dengan keupayaan untuk melaksanakannya serta memastikan rakyat dan perusahaan tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pertumbuhan ekonomi Perak mesti sampai ke pekan kecil, kampung


