Kerajaan sasar bina 30,000 unit pengecas EV pada 2030

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan pembangunan sebanyak 30,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara menjelang tahun 2030 iaitu kira-kira empat kali ganda jumlah semasa.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sasaran itu akan direalisasikan melalui penggalakan pelaburan sektor swasta melalui pengendali titik pengecasan (CPO) serta kerjasama dengan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan akses kepada kemudahan pengecas EV dapat diperluaskan secara lebih menyeluruh, kerajaan terus menggalakkan CPO untuk meneroka peluang pelaburan di kawasan luar bandar dan pekan kecil.

“Antara pendekatan dengan menggalakkan CPO memperluas rangkaian kemudahan pengecasan EV bukan sahaja di dalam kawasan lebuh raya malah ke lokasi alternatif seperti plaza tol, jalan persekutuan serta kawasan komersial berhampiran susur keluar lebuh raya dan pusat bandar.

“Pendekatan ini dapat meningkatkan akses kepada kemudahan pengecasan khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan pembangunan di dalam kawasan lebuh raya serta menjadi alternatif kepada pengguna EV yang melalui kawasan pekan kecil dan luar bandar,” katanya pada Sesi Pertanyaan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  menyatakan perancangan kementerian untuk memperluas infrastruktur stesen EV ke kawasan luar bandar dan pekan kecil bagi merangsang penyerapan teknologi hijau.

Mengulas lanjut, Tze Tzin memberitahu, kementerian turut menggalakkan CPO kemudahan pengecas EV jenis  pengecas arus ulang alik (AC) di kawasan komersial, premis perniagaan, pusat membelibelah dan kemudahan awam yang membolehkan pengguna mengecas kenderaan semasa menjalankan urusan atau meletakkan kenderaan untuk tempoh lebih panjang.

Pendekatan lain katanya, CPO memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri, PBT, pemilik premis, syarikat utiliti dan pemain industri bagi mengenal pasti lokasi strategik untuk pembangunan kemudahan pengecas EV termasuk pekan kecil, kawasan pelancongan dan laluan perhubungan antara bandar dan daerah.

“CPO menyesuaikan pembangunan kemudahan pengecas EV jenis AC dan pengecas pantas arus terus (DC) dengan kesesuaian lokasi, corak perjalanan serta tahap permintaan pengguna bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum dan berdaya maju dalam jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI