BN tidak mahu tergesa-gesa adakan PRN di Perak dan Pahang

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) tidak mahu tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak dan Pahang susulan PRN Melaka yang baru sahaja selesai minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu, keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri itu perlu diserahkan kepada budi bicara Menteri Besar masing-masing berdasarkan situasi semasa.

Menurut beliau, Menteri Besar perlu menilai kesesuaian masa sebelum mempersembahkan perkara itu kepada Sultan atau Yang di-Pertua Negeri untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya.

“Kita baru sahaja selesai Melaka. Jadi, kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain.

“Saya serahkan kepada Ketua Menteri ataupun Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat bagaimanakah situasinya dan mempersembahkan kepada Tuanku (Sultan) dan Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jalan Simpang Empat, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Brigadier Jeneral Samad Igom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Hutan Melintang, S. Wasanthee.

Tambah Ahmad Zahid, Menteri Besar perlu memberi nasihat kepada Sultan dan Yang di-Pertua Negeri jika PRN sesuai untuk diadakan.

“Tetapi biarlah kita selesaikan satu persatu dahulu,” jawabnya ringkas.

Terdahulu media melaporkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mencadangkan DUN Pahang dan Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN susulan kemenangan besar kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka ke-16.

Menurutnya, formula kerjasama BN-PN terbukti membuahkan hasil apabila gabungan itu berjaya menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI