Pertama kali, Belanjawan Perak 2027 sedia jurubahasa isyarat

IPOH – Buat julung kalinya, pembentangan Belanjawan Negeri Perak akan disertakan khidmat jurubahasa isyarat bagi membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran mengikuti perancangan kewangan negeri itu pada 24 November ini.

Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan sempena pembentangan Belanjawan Perak 2027 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada hari pertama Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15.

Menurut beliau, penyediaan khidmat berkenaan merupakan usaha memperluaskan akses maklumat kepada golongan OKU pendengaran supaya mereka turut berpeluang mengikuti pembentangan belanjawan negeri.

“Ini merupakan kali pertama kita mendapatkan khidmat jurubahasa isyarat dan seramai dua jurubahasa akan bertugas secara bergilir-gilir sepanjang pembentangan belanjawan oleh Menteri Besar.

“Kita akan cuba menyediakan perkhidmatan ini sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu nanti. Insya-Allah, kita akan berusaha memastikan khidmat sama dapat disediakan pada setiap persidangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Persidangan berkenaan dijadual berlangsung selama lapan hari bermula 24 November hingga 3 Disember 2026 dengan pembentangan Belanjawan Perak 2027 menjadi antara agenda utama pada hari pertama.

Mohamad Zahir berkata, tempoh persidangan kali ini juga berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila setiap sesi dijangka berakhir lebih awal seawal pukul 1 tengah hari dan paling lewat pada pukul 3.30 petang.

“Antara sebab kita memendekkan setiap sesi adalah bertujuan memberi ruang kepada petugas media membuat liputan dan menyiapkan tugasan, selain memastikan urusan dan tugas rasmi kerajaan negeri dapat diteruskan seperti biasa pada sebelah petang,” katanya

Orang ramai yang berminat mengikuti persidangan secara langsung juga dialu-alukan hadir sebagai pemerhati dengan mengemukakan permohonan menerusi portal rasmi Dewan Negeri Perak atau Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Persidangan berkenaan turut boleh diikuti menerusi siaran langsung di saluran YouTube DUN Perak, portal rasmi Kerajaan Negeri Perak serta laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI