GOPENG – Kerajaan Negeri Perak memaklumkan bahawa setakat ini tiada sekolah yang ditutup atau terjejas susulan kejadian banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, perhatian khusus akan diberikan kepada sekolah yang dikenal pasti berisiko dilanda banjir sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember ini.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan garis panduan khusus menerusi Ops Payung yang menetapkan tindakan perlu diambil sekiranya pusat peperiksaan tidak dapat digunakan atau calon menghadapi kesukaran untuk hadir akibat laluan terputus dan kediaman ditenggelami air.
“Pihak sekolah di negeri ini telah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan walaupun berdepan kemungkinan banjir.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada sekolah yang ditutup atau dicadangkan untuk ditutup, namun perkembangan situasi banjir akan terus dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan program Junior Food Security Innovation Challenge (J-SinC 3.0) 2026 serta menyempurnakan Pelancaran Buku Hijau di Dewan Terbuka Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Dalam perkembangan sama, Khairudin memaklumkan bahawa menerusi Ops Payung, pihak sekolah telah diberikan panduan mengenai tindakan, prosedur dan langkah yang perlu diambil sekiranya pusat peperiksaan tidak dapat digunakan atau calon menghadapi masalah untuk hadir ke pusat peperiksaan, termasuk akibat laluan terputus atau kediaman ditenggelami air.
“Menerusi mesyuarat penyelarasan bencana peringkat daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah, perkara ini sentiasa diberi penekanan.
“Kerjasama antara agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di setiap daerah seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba dan polis turut membantu Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan semua calon tidak menghadapi masalah untuk menduduki peperiksaan.
“Macam hari ini saya difahamkan sebuah bilik makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang telah ditenggelami air dan tidak dapat digunakan untuk ujian amali (SPM). Oleh itu, ujian amali itu dipindahkan ke makmal lain.
“Pelajar yang kediaman mereka terjejas akibat banjir turut mendapat bantuan APM, polis dan bomba bagi membolehkan mereka mengikuti ujian amali yang dijadualkan hari ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak pengurusan sekolah yang berisiko dilanda banjir supaya sentiasa mematuhi SOP Ops Payung serta mendapatkan kerjasama dan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah masing-masing.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat jam 8 malam ini, seramai 1,204 orang daripada 436 keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Larut Matang dan Selama, Kerian, Hilir Perak, Manjung dan Kampar.– MG Perak
Artikel Berkaitan:


