Pelajar turut cipta inovasi, wajar diberi royalti – TPM

PUTRAJAYA – Pelajar dan mahasiswa yang membantu pensyarah menghasilkan idea, inovasi serta ciptaan baharu sehingga berpotensi dikomersialkan wajar diberikan royalti sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan mahasiswa tidak seharusnya diketepikan kerana mereka turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesuatu penemuan dan inovasi.

Beliau berkata, pihak industri dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menghargai pensyarah yang menghasilkan inovasi melalui pemberian honorarium sewajarnya selain memastikan pelajar yang terlibat turut menerima ganjaran.

“Saya ingin dengan ringkas, pelajar-pelajar yang membawa idea yang mencipta sesuatu yang lebih kreatif dan boleh jadi prototaip dan dikomersialkan pihak industri, pihak KPT, tolong hargai para pensyarah untuk diberikan honorarium yang tinggi kepada para pensyarah.

“Jangan lupa yang membantu pensyarah ialah pelajar-pelajar, mahasiswa-mahasiswi yang turut membantu. Mereka juga wajib diberikan royalti, banyak-banyak mesti diberikan royalti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan timbalannya, Adam Adli.

Ahmad Zahid menggesa, KPT dan universiti menyediakan bimbingan serta membudayakan inovasi dengan mencari rakan pelaksana pada setiap peringkat bagi memastikan penyelidik dan pensyarah tidak dibiarkan bergerak sendirian selepas menghasilkan penemuan.

Menurutnya, peluang kenaikan pangkat juga perlu diberikan kepada golongan berkenaan supaya usaha penyelidikan dan inovasi mereka terus dihargai.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu idea yang dihasilkan universiti, industri dan kerajaan digabungkan sebagai misi bersama negara khususnya dalam menangani isu keselamatan makanan, banjir serta penguasaan teknologi kritikal.

Beliau turut meminta KPT dan agensi berkaitan membuka ruang kepada inovasi tempatan untuk menjalani pengujian bersama industri serta mendapatkan pembiayaan bagi membuktikan keberkesanan ciptaan sebelum dikembangkan secara lebih meluas.

“Kalau kita sendiri tidak memberi peluang kepada ciptaan anak Malaysia, siapa lagi yang akan memulakannya?” soalnya.

Ahmad Zahid berkata, setiap gagasan yang dicetuskan menerusi Festival of Ideas Putrajaya perlu mempunyai kesinambungan melalui pihak yang bertanggungjawab, tindakan susulan dan hasil yang dapat dimanfaatkan rakyat serta negara.

Tegasnya, Malaysia perlu beralih daripada sekadar menggunakan teknologi kepada mencipta dan memilikinya sendiri, selain melahirkan kepakaran serta membentuk perubahan berdasarkan kepentingan dan nilai negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI