IPOH – Selepas lebih 20 tahun beroperasi, Zuls Farm & Resort di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, dekat sini, berdepan kejadian pertama apabila gajah liar memasuki kawasan tersebut untuk mencari makanan.
Pemiliknya, Zulkefli Ahmad, 65, berkata, kehadiran haiwan liar itu mula dikesan sejak lima hingga enam bulan lalu, namun pada awalnya hanya berkeliaran di kawasan kebun di bahagian atas premis sahaja.
Menurutnya, mamalia itu dikesan memasuki premis dan mandi di kolam ikan pada hari kejadian sebelum Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan operasi menangkap haiwan itu.
“Pada malam itu, mereka memasang dron untuk memantau pergerakan gajah yang dilihat mandi di kolam ikan di bahagian bawah resort ini.
“Mereka kemudian menembak seekor gajah menggunakan pelali, manakala seekor lagi melarikan diri ke kawasan atas. Hari ini, kita menunggu pasukan Perhilitan untuk membawa keluar gajah berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, sepanjang tempoh mengusahakan resort, chalet dan tapak perkhemahan itu, kejadian berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Dulu saya berkebun dan mengusahakan chalet serta tapak perkhemahan di sini lebih 20 tahun, tetapi tidak pernah berlaku perkara seperti ini.
“Mungkin sekarang sudah banyak lot tanah mempunyai geran dan kawasan kebun semakin terbuka, jadi gajah lebih mudah masuk untuk mencari makanan,” ujarnya.
Mengulas kerosakan akibat kehadiran haiwan liar itu, Zulkefli berkata, beberapa tanaman seperti pokok nangka, pisang dan kelapa mengalami kerosakan, namun tiada kemusnahan besar berlaku di kawasan resort miliknya.
Tambahnya, terdapat kebun di kawasan atas yang mengalami kerosakan lebih serius, termasuk tangki air yang dipecahkan gajah.
Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan haiwan berkenaan kerana memahami kawasan itu mungkin sebahagian daripada laluan semula jadi gajah.

“Kita pun tidak marah kerana itu kawasan mereka, kampung mereka. Sebenarnya, kitalah yang masuk ke kawasan mereka. Saya tidak rasa kesal dengan apa yang berlaku kerana semuanya sudah ditakdirkan,” katanya.
Zulkefli berharap Perhilitan dapat terus memantau pergerakan seekor lagi gajah yang dipercayai masih berada di kawasan sekitar.
Terdahulu, Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah memaklumkan, pihaknya berjaya memindahkan seekor gajah liar jantan seberat dua tan yang dinamakan Yeop Tonggang di sini, hari ini.
Operasi yang mengambil masa hampir lima jam, bermula dari jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam 1 petang itu melibatkan seramai 42 anggota Perhilitan serta agensi berkaitan.
Katanya, operasi pemindahan mamalia berkenaan turut dibantu dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Sanum dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.
Beliau berkata, gajah jantan itu akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu bagi memastikan keselamatan penduduk setempat selain mengurangkan risiko konflik antara manusia dan hidupan liar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


