IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) mengambil pendekatan menggali parit bagi menghalang pencerobohan berterusan ke atas tanah miliknya di Silver Valley Technology Park (SVTP), di sini.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Perak itu dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut bertujuan menghalang laluan keluar dan masuk di Kawasan berkeluasan berkeluasan kira-kira 1,250 hektar di Kanthan, Chemor.
“Untuk makluman, pihak PKNPk selaku pemilik tanah berdaftar yang sah di sisi undang-undang telah melakukan Operasi Pemberhentian Pencerobohan Berterusan di atas tanah milik PKNPk bermula 29 Jun.
“Langkah yang diambil ini bertujuan bagi memberi fokus terhadap pembangunan projek SVTP yang dijangka bakal mewujudkan sebanyak 13,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya di sini, pada Ahad.
PKNPk berkata, selaku pemilik berdaftar tanah yang sah dari sisi undang-undang, GLC berkenaan mengambil pendekatan menghalang pencerobohan secara berterusan di atas tanah hak miliknya.
Tambahnya lagi, proses pemberhentian pencerobohan berterusan ini mengikut proses dan lunas undang-undang demi menjaga hak dan kepentingan semua pihak.
“Ia penting bagi menjaga keharmonian dalam pembangunan negeri sambal memelihara alam sekitar dan memastikan keadilan dalam penggunaan sumber tanah,” katanya.
“Bagaimanapun, dengan kuasa budi bicara PKNPk, sekiranya perlu, penceroboh-penceroboh boleh memohon kebenaran daripada pihak PKNPk untuk memasuki dan membawa keluar hasil tanaman atau aset-aset milik penceroboh dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
PKNPk sekali lagi mengulangi sesi libat urus menawarkan tanah alternatif di Changkat Kinding yang telah digazetkan sebagai zon pertanian telah diadakan sejak 2021.
Ujarnya, tersebut merupakan usaha yang dijalankan bersama antara PKNPk, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Kerajaan Negeri Perak, tetapi penceroboh enggan menerima tawaran PKNPk sehingga kini.
“Sekiranya penceroboh bersetuju untuk menandatangani perjanjian pajakan di tanah alternatif yang disediakan di Changkat Kinding, perjanjian tersebut akan didaftarkan bagi membolehkan mereka bebas melakukan aktiviti pertanian mereka sepanjang tempoh pajakan.
“PKNPk sekali lagi mengulangi pendirian serta jaminan bahawa pihak PKNPk sentiasa terbuka untuk berbincang dengan penceroboh-penceroboh yang terlibat dalam operasi ini untuk berpindah ke Changkat Kinding,” katanya.
PKNPk sentiasa komited untuk melaksanakan amanah sebagai peneraju pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini, di samping memastikan amalan, prosedur perancangan dan penggunaan tanah yang betul serta mengekalkan kedaulatan undang-undang. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengosongan tanah pertanian haram di SVTP ikut undang-undang