Pengosongan tanah pertanian haram di SVTP ikut undang-undang

IPOH – Proses pengosongan tanah melibatkan sekumpulan petani yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di sini, dijalankan oleh pihak berkuasa mengikut saluran undang-undang.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kerajaan negeri sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu tuntutan kumpulan berkenaan di tapak projek milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Justeru itu, dakwaan bahawa berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa pada Selasa adalah tidak benar memandangkan kerajaan negeri sentiasa memastikan penggunaan sumber tanah secara adil dan saksama sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya.

“Malah, bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan lebih 11 tahun itu, kerajaan negeri melalui PKNPk menawarkan tapak alternatif di Changkat Kinding, yang telah digazetkan sebagai zon pertanian.

“Inisiatif itu turut melibatkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC),” katanya.

Jelas Pejabat Menteri Besar Perak, bagi membolehkan proses pemindahan dibuat secara tersusun, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM700,000 bagi penyediaan infrastruktur serta kerja-kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak alternatif berkenaan.

“Lawatan tapak ke Changkat Kinding telah diadakan pada Mei 2021 bersama setinggan pertanian yang terbabit, namun malangnya sehingga kini hanya sekumpulan kecil daripada mereka yang menerima tawaran tersebut.

“Adalah amat penting bagi PKNPk sebagai penggerak utama ekonomi Perak untuk merealisasikan projek berimpak tinggi SVTP, bagi melengkapkan perancangan memacu pembangunan industri negeri.

“SVTP juga dijangka bakal menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat selain mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru,” katanya.

Mengulas lanjut, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan memahami kekangan yang dihadapi setinggan pertanian terbabit, kerajaan negeri melalui PKNPk sentiasa membuka pintu perundingan.

Ujarnya lagi, ia bertujuan agar jalan penyelesaian menerusi penyediaan tapak alternatif di Changkat Kinding dapat sama-sama direalisasikan.

“Kerajaan Negeri yakin isu tersebut boleh diselesaikan secara harmoni dengan semua pihak mengambil sikap tanggungjawab dan menghormati prinsip serta keluhuran undang-undang.

“Dalam hubungan ini, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan petani dalam membantu memastikan aspek ketersediaan sumber makanan sentiasa diutamakan.

“Ini kerana Perak merupakan negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan negara,” katanya.

Tambahnya, sekuriti makanan menjadi salah satu daripada enam agenda dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dengan menggariskan pelbagai inisiatif memperkasa industri asas tani termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hub industri halal.

Terdahulu pada Selasa, empat lelaki, tiga daripadanya melibatkan ahli parti politik dan seorang petani di tahan Polis dalam operasi bersepadu yang dijalankan di tapak projek Silver Valley Technology Park, Kanthan Bharu, Chemor, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan disertai oleh beberapa agensi serta badan berkanun kerajaan negeri, manakala Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berperanan menjaga keamanan sepanjang operasi dijalankan.

“Semasa operasi dilaksanakan pada jam lebih kurang 2.30 petang, sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang petugas PTG untuk menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MUDA Perak kecam tindakan aktivis PSM didakwa dikasari

Polis mengesahkan tiga ahli parti politik, seorang petani ditahan

PSM gesa bebaskan Pengerusi termasuk tiga yang lain

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI