Polis mengesahkan tiga ahli parti politik, seorang petani ditahan

IPOH – Polis mengesahkan penahanan empat lelaki, tiga daripadanya melibatkan ahli parti politik dan seorang petani dalam operasi bersepadu yang dijalankan di tapak projek Silver Valley Technology Park, Kanthan Bharu, Chemor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan disertai oleh beberapa agensi serta badan berkanun kerajaan negeri, manakala Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berperanan menjaga keamanan sepanjang operasi dijalankan.

Menurutnya, operasi bersepadu yang tular di media sosial itu berlaku sekitar jam 10.05 pagi di kawasan tapak projek berkenaan.

“Semasa operasi dilaksanakan pada jam lebih kurang 2.30 petang, sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang petugas PTG untuk menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

“Pihak polis melakukan tangkapan ke atas kesemua lelaki terbabit berusia antara 30 hingga 68 tahun dan mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, rentetan itu, satu laporan polis turut dibuat berhubung tangkapan terbabit.

Tambah beliau, bagaimanapun kesemua yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah proses siasatan selesai.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada PTG mengenai seorang perempuan cina yang disyaki merupakan ahli parti politik berkenaan.

“Perempuan terbabit dipercayai bertindak menghalang kenderaan PTG semasa menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu tersebut berjaya dilaksanakan dan petani serta ahli parti politik yang berkumpul di kawasan berkenaan bersurai dengan aman pada jam sekitar 2.45 petang.

Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa supaya Pengerusinya, Dr Micheal Jeyakumar dan tiga yang lain dibebaskan selepas mereka ditahan sewaktu cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun, di sini, pada Selasa.

Tiga lagi ahli jawatankuasa PSM, yang ditahan adalah R. Karthiges; anggota Pemuda PSM Perak, P Kesavan dan seorang petani, Ho Pon Tien. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

PSM gesa bebaskan Pengerusi termasuk tiga yang lain

MUDA Perak kecam tindakan aktivis PSM didakwa dikasari

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI