Lebih 10 tahun banjir lumpur akibat penerokaan haram, penduduk rayu penyelesaian

IPOH – Bagaikan tiada penyelesaian, itu yang diutarakan oleh sebahagian penduduk daripada Taman Chepor Sentosa, di sini, selepas masalah banjir lumpur yang berlaku sejak 10 tahun lalu masih berlarutan hingga membebankan mereka.

Kejadian yang melibatkan 18 buah rumah termasuk yang tidak berpenghuni di Jalan 15 dan Jalan 19, Taman Chepor Sentosa itu, didakwa berpunca daripada kebun jagung haram di keliling taman berkenaan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Chepor Sentosa, Farriz Izzwan Khairulanuar berkata, kawasan perumahan berkenaan dikelilingi kawasan berbukit dan hutan simpan yang menakung takungan hujan.

Menurutnya, bagaimanapun beberapa kawasan sekitar taman tersebut telah diterokai pekebun sayuran yang secara tidak langsung mengganggu ekosistem dan berlaku aliran limpahan hujan dari kawasan kebun haram ke sistem saliran atau longkang Taman Chepor Sentosa.

“Aliran limpahan hujan ini mengalir deras dari kebun sayuran berbukit dibelakang Jalan Chepor Sentosa 15 menyebabkan air berlumpur dan berpasir turun menyusur laju dan menghentam perumahan di sekitar jalan tersebut.

“Ini menyebabkan seringnya berlaku banjir kilat yang merosakkan kediaman, harta benda dan meninggalkan lumpur tebal di sepanjang Jalan Chepor Sentosa 15 dan Jalan Chepor Sentosa 19,” katanya.

Banjir lumpur 10 tahun Taman Chepor Sentosa 1
Salah sebuah kediaman penduduk Taman Chepor Sentosa, Chemor yang sering dinaiki banjir lumpur setiap kali hujan lebat, dipercayai akibat penerokaan haram keliling taman berkenaan.

Jelas beliau, penduduk melalui persatuan sering menyuarakan masalah berkenaan kepada pihak berkuasa melalui penghantaran memorandum bantahan namun tiada sebarang tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan punca utama banjir lumpur berkenaan.

“Saya berharap kali ini, pihak berkuasa serta pemimpin tempatan segera menyelesaikan isu ini kerana keadaan semakin meruncing dan berapa lama kami perlu tunggu,” katanya.

Bagi Halimah Bahazim, 60, dia terpaksa berhadapan dengan kejadian banjir lumpur hampir setiap bulan apabila berlakunya hujan lebat lebih dari 30 minit.

Menurut pesara guru itu, hidupnya tidak tenteram setiap kali mendengar guruh dilangit kerana khuatir rumahnya akan dilanda banjir lumpur selain memikirkan kebarangkalian dimasuki air sekiranya hujan lebat berterusan selama berjam-jam.

“Sejak dari tiga tahun lalu saya pindah ke sini, hampir setiap bulan banjir lumpur berlaku dan keliling rumah saya akan dipenuhi lumpur yang datang dari ladang haram yang betul-betul di belakang rumah saya.

“Bila air surut keliling rumah saya akan dipenuhi dengan lumpur setinggi satu kaki dan kadang-kadang lebih tinggi daripada itu hingga menyukarkan saya dan keluarga mencucinya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Halimah menunjukkan rumah taman chepor sentosa
Halimah menunjukkan kebun jagung dibelakang rumahnya di Taman Chepor Sentosa yang dipercayai mengakibatkan banjir lumpur setiap kali hujan lebat.

Halimah berkata, beliau berharap agar penyelesaian segera diambil oleh pihak terlibat memandangkan masalah yang dihadapinya itu sudah diutarakan beberapa kali kepada pemimpin tempatan dan negeri.

“Saya sudah penat setiap kali hujan banjir lumpur akan memasuki kawasan kediaman saya dan jalan hadapan rumah saya seperti air sungai yang deras dan ia benar-benar merbahaya jika tidak ditanggani segera.

“Sampai bila kami mahu bertahan sedangkan apa yang berlaku ini bukan berpunca daripada kami tetapi daripada mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Polis mengesahkan tiga ahli parti politik, seorang petani ditahan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI