Perak rugi jutaan ringgit akibat pencerobohan tanah di Khantan

GERIK – Kerajaan Perak mengalami kerugian jutaan ringgit susulan tindakan sekumpulan petani menceroboh dan mengusahakan aktiviti pertanian secara haram di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di Khantan, Tambun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mendedahkan perkara itu berkata, kerugian itu susulan tindakan mereka yang tidak membayar premium dan cukai tanah pertanian serta lesen pendudukan sementara (TOL) sejak 11 tahun lalu.

“Mereka mengusahakan aktiviti pertanian secara haram dengan tidak membayar premium, dan cukai yang mana sebahagian hasil keuntungan pertanian mereka tidak sampai kepada kerajaan, maka kita rugi juta-juta ringgit.

“Disebabkan itu kita memutuskan kita hendak ‘menghalalkan’ aktiviti pertanian mereka, kita beri mereka tanah gantian supaya mereka dapat membayar premium, dan TOL kepada kerajaan negeri. Maka ia akan wujud situasi menang-menang (antara petani dan kerajaan negeri).

“Kita telah menawarkan tanah ganti kepada mereka (petani) dan kita teruskan mengikut undang-undang sedia ada mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cermin mata bagi Program Yayasan Perak Eye Sinar 2023 bersempena Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar bersama warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak di sini, pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bergambar bersama penerima bantuan cermin mata Program YP Eye’s Sinar 2023 pada Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi YAB Menteri Besar bersama warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 OKTOBER 2023

Selain itu, menteri besar memaklumkan tindakan pencerobohan itu tidak menjejaskan pembangunan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di kawasan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri optimis untuk pembangunan kawasan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri itu mengikut jadual berikutan fasa pertama projek berkenaan telah dimulakan Mei lalu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata beliau tidak menafikan sikap degil petani yang menceroboh tanah berkenaan untuk terus kekal kawasan itu disebabkan pengaruh sebuah parti politik yang seolah-olah mahu menjadi hero.

“Kita tahu sebahagian daripada mereka bersetuju menerima tawaran kita dengan membayar premium dan TOL.

“Cuma mereka tertipu dan terpedaya dengan mainan sekumpulan pihak parti politik yang partinya tenggelam, dan hendak hidupkan partinya dengan cara menjadi hero kepada petani ini,” ujar beliau.

Pada Selasa, polis menahan empat individu, termasuk Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun.

Turut ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas ialah Ahli Jawatankuasa PSM R Karthiges, anggota Pemuda PSM Perak P Kesavan, dan seorang petani yang dikenali sebagai Ho Pon Tien.

Susulan itu, pada Khamis Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa sekumpulan petani di di tapak projek SVTP itu.

Katanya ini kerana proses pengosongan tanah itu dilaksanakan mengikut saluran undang-undang dengan mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu tuntutan berkenaan. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Pengosongan tanah pertanian haram di SVTP ikut undang-undang

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI