IPOH – MIC tidak menuntut atau meletakkan sebarang sasaran untuk memperoleh kerusi tambahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, sebaliknya ketika ini parti memberi keutamaan untuk memastikan setiap agihan kerusi mampu dimenangi dan seterusnya menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri itu nanti.
“Ini bukan soal mendapatkan kerusi tambahan, semua orang kena faham. Ia adalah tentang memenangi kerusi yang telah diagihkan.
“Ia adalah tentang bagaimana BN boleh kembali (terus) berkuasa di Johor (selepas PRN). Jadi, sudah tentu apa sahaja pilihan yang terbaik, kita kena teruskan.
“Kalau ikutkan kehendak, semua orang mahukan banyak kerusi, tetapi kalau bertanding dan tidak menang, itu merugikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Keluarga Sempena Ulang Tahun MIC Ke-80 di Taman DR Seenivasagam, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut Vigneswaran memberitahu, proses rundingan pembahagian kerusi antara MIC dengan komponen parti lain dalam BN bagi menghadapi PRN Johor telah selesai.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut berkenaan hal itu kerana ia berada di bawah bidang kuasa kepimpinan tertinggi BN.
“(Proses agihan kerusi untuk PRN) Johor sudah. (Bagi mengadapi PRN) Melaka pun saya rasa tiada masalah,” katanya lagi.
Mengulas berkenaan gerak kerja dan persediaan MIC dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata, parti itu sentiasa bersedia sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat.
Kata beliau, pelbagai program sedang dilaksanakan MIC yang bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan hubungan anggota parti hingga ke akar umbi, malah sebagai platform parti menyantuni masyarakat.

“Dan semua program yang kita anjurkan ini adalah persediaan untuk pilihan raya. Sudah tentu kita bersedia untuk pilihan raya, jika ia diadakan.
“Tetapi pada pandangan peribadi, saya rasa tidak akan ada PRU16 dalam masa terdekat. Namun yang saya pasti akan berlaku PRN seperti di Johor dan Melaka (tahun ini),” katanya.
Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, MIC berjaya memenangi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan iaitu Tenggaroh, Kahang dan Kemelah.
Keputusan itu menyumbang kepada 40 kerusi yang dimenangi secara keseluruhan oleh BN di Johor. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
BN, PH Johor tanding sendiri, lepas PRN runding tubuh kerajaan


