TAPAH – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, kini menumpukan usaha meneliti rakaman daripada satu lagi kamera pengawasan hidupan liar yang ditempatkan di kawasan Gunung Rayu bagi mengesan petunjuk baharu keberadaan mangsa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pasukan SAR bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah bergerak ke lokasi kamera berkenaan untuk mendapatkan kad memori bagi tujuan pemeriksaan.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas rakaman kamera Perhilitan di kawasan Bukit Berapit 2 yang diperiksa pada jam 12.30 tengah hari Ahad tidak menemukan sebarang imej mangsa di laluan tersebut.
“Pasukan SAR bersama anggota Perhilitan telah bergerak ke lokasi kamera (yang dipasangkan di kawasan) di Gunung Rayu untuk mengambil satu lagi kad memori kamera pengawasan.
“Rakaman kamera Perhilitan di kawasan Bukit Berapit 2 yang diperiksa sebelum ini didapati tidak mempunyai sebarang penemuan gambar mangsa di laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, lokasi kamera pengawasan hidupan liar yang ditempatkan di Gunung Rayu terletak kira-kira satu kilometer di luar trek laluan antara laluan Kem Sukaneka-Gunung Rayu-Bukit Berapit-Pos Musoh.
“Usaha digerakkan untuk memeriksa sekiranya mangsa telah tersasar dari laluan utama dan berkemungkinan melalui laluan kamera tersebut,” ujarnya.
Ujar beliau, berdasarkan kedudukan koordinat kamera berkenaan, kawasan itu berada dalam daerah Hulu Jelai, Lipis di Pahang.
Sementara itu, Sayani memaklumkan sehingga jam 10 pagi tadi, seramai 21 anggota pasukan penyelamat masih berada di sektor pencarian yang telah ditetapkan.
“Pasukan SAR pada hari ini sedang mengumpul kekuatan keanggotaan tambahan bagi perancangan sekiranya memerlukan tindakan yang bersepadu dan menyeluruh di sektor tumpuan pencarian yang telah ditetapkan.
“Komunikasi bersama pasukan penyelamat masih terputus dipercayai disebabkan mereka berada di kawasan lembah serta terhalang oleh liputan komunikasi,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi SAR terutama di kawasan sekitar Gunung Rayu masih diteruskan melibatkan anggota JBPM dan pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP).
“Seramai 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah keluar dari kawasan operasi melalui Pos Musoh pada jam 1.13 pagi Ahad.
“Manakala lima anggota penyelamat terdiri daripada seorang anggota JBPM dan empat anggota Jabatan Perhutanan Negeri keluar melalui Pos Kuala Woh pada jam 2.12 pagi,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jaslinda melalui laluan ke Kem Sukaneka, bukan Gunung Batu Bujang


