15 individu termasuk OKU dakwa ditipu tawaran sijil SKM, kerugian hampir RM30,000

IPOH – Seramai 15 individu dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang mendakwa mengalami kerugian hampir RM30,000 berhubung tawaran program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikaitkan dengan sebuah akademi, termasuk seorang pengadu orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Jurucakap pelajar dan tenaga pengajar, Nor Azliza Mohd Azman, 47, berkata, kesemua individu terbabit mendakwa telah membuat pembayaran bagi menyertai program berkenaan, namun masih belum memperoleh penjelasan memuaskan mengenai status pelaksanaannya.

Menurutnya, sebahagian pengadu mempunyai rekod transaksi bank sebagai bukti pembayaran, tetapi tidak menerima resit rasmi bagi urusan kewangan yang dilakukan.

“Mereka turut mendakwa belum menerima maklumat jelas mengenai pelaksanaan program, proses latihan dan penilaian, selain status kelayakan untuk memperoleh sijil yang ditawarkan.

“Kami memandang serius perkara ini kerana tawaran kelayakan kemahiran boleh mempengaruhi masa, kewangan, pekerjaan dan perancangan masa depan seseorang,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis bersama individu lain yang terlibat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Azliza berkata, bagaimanapun, jumlah kerugian dan keadaan setiap pengadu adalah berbeza mengikuti situasi masing-masing.

“Oleh itu, kami menyerahkan pengesahan fakta, status program dan penentuan sebarang kesalahan kepada pihak berkuasa melalui siasatan yang sewajarnya.

“Kami turut menggesa pihak berkaitan memberikan penjelasan yang jelas tentang status program dan pembayaran yang telah diterima,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia menyeru individu lain yang pernah menerima tawaran program sama supaya tampil membuat laporan polis dengan membawa dokumen serta bukti berkaitan bagi membantu siasatan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ditipu dua kali, pakar perubatan rugi lebih setengah juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI