TLDM turun padang bantu penduduk terjejas banjir kilat di Pangkor

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengatur gerak 100 anggotanya dari Pangkalan TLDM Lumut bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pangkor awal pagi ini.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat), dalam satu kenyataan berkata, misi bantuan itu diketuai Ketua Pegawai Staf Operasi MPA Barat TLDM, Komander Abdul Manan Mazlan menggunakan tiga buah Fast Combat Boat (FCB) dan dua buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB).

TLDM turun padang bantu penduduk terjejas banjir kilat di Pangkor
Anggota TLDM melaksanakan kerja-kerja pembersihan susulan kejadian banjir kilat yang melanda Pulau Pangkor pagi tadi. Foto Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM Lumut

Menurut kenyataan itu, aset berkenaan digunakan bagi menyokong pergerakan anggota serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas, manakala sebuah helikopter TLDM turut berada dalam keadaan siap siaga bagi memberikan sokongan udara sekiranya diperlukan.

“Bagi memastikan kebajikan petugas yang terlibat dalam operasi berkenaan terpelihara, TLDM turut menyediakan 300 bungkus makanan dan 425 botol air mineral untuk diagihkan kepada anggota TLDM, guru, individu serta wakil agensi awam yang terbabit dalam kerja-kerja pembersihan.

“Operasi pembersihan tertumpu di Sekolah Kebangsaan Seri Pangkor, selain melibatkan masjid dan kediaman penduduk yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir serta dipenuhi mendapan lumpur tebal,“ katanya hari ini.

TLDM turun padang bantu penduduk terjejas banjir kilat di Pangkor
Anggota TLDM melaksanakan kerja-kerja pembersihan susulan kejadian banjir kilat yang melanda Pulau Pangkor pagi tadi. Foto Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM Lumut

MPA Barat memaklumkan pihaknya bersama semua unit di bawah pemerintahan dan naungan di Pangkalan TLDM Lumut akan terus komited menyokong usaha pemulihan di kawasan terjejas menerusi kerjasama dan penyelarasan dengan agensi berkaitan.

“Komitmen itu mencerminkan peranan berterusan TLDM bukan sahaja dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara, malah turut membantu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat ketika berdepan bencana,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir di Taiping pulih, PPS ditutup 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI