Pemimpin gerakan koperasi perlu sentiasa pelihara integriti – Ahmad Norihan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengingatkan barisan kepimpinan dan pimpinan gerakan koperasi di seluruh negara agar sentiasa memelihara integriti serta menjaga kepercayaan yang telah diberikan oleh para anggota.

Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, pembudayaan integriti adalah tunggak utama dalam menguruskan lebih 16,300 koperasi di Malaysia ketika ini bagi memastikan kestabilan dan daya saing sektor berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap amalan integriti perlu merangkumi tiga peringkat utama organisasi, bermula daripada pihak pengurusan yang wajib mempamerkan integriti tertinggi dalam urusan harian memandangkan mandat serta kepercayaan telah diamanahkan oleh anggota.

Selain pihak pengurusan, ujarnya, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang mencorakkan hala tuju strategik organisasi turut dituntut berintegriti tinggi.

“ALK perlu mempunyai integriti yang tinggi sebab mereka yang membawa secara strategiknya ke mana arah koperasi itu nak dibawa.

“Kalau integriti berpecah dan membuat keputusan hanya berandai-andai kepada perkara yang mungkin tidak sesuai dari segi perniagaan, maka mereka akan buat keputusan yang integritinya boleh dipertikaikan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, tambahnya, integriti turut dituntut dalam kalangan anggota koperasi itu sendiri menerusi sokongan padu kepada perniagaan organisasi, di samping menggunakan saluran dalaman yang betul sekiranya timbul sebarang isu.

“Integriti dari segi menyokong koperasi itu sendiri, bukan untuk memburuk-burukkan koperasi.

“Sekiranya ada masalah-masalah tertentu, terus maklumkan kepada pihak pengurusan ataupun ahli lembaga koperasi.

“Nama koperasi itu sendiri adalah komuniti dan dibentuk dalam bentuk demokrasi,” jelas beliau.

Tambah beliau, pendekatan itu selari dengan iltizam kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang amat menekankan isu integriti di semua jabatan, kementerian dan agensi kerajaan tanpa terkecuali dalam gerakan koperasi.

Mengulas mengenai aspek kawal selia, Ahmad Norihan menjelaskan bahawa SKM memikul dua tanggungjawab utama yang perlu ditimbang secara saksama demi kebaikan pergerakan koperasi.

“Sebab kita perlu ingat, Suruhanjaya ini memegang dua perkara. Yang pertama adalah tata kelola, termasuk dalam itu integriti, dan yang keduanya adalah untuk perkembangan koperasi.

“Jadi dua perkara ini perlu kita timbang wajar dan timbang dengan baik,” ujar beliau.

Beliau menambah, pihak pengurusan tertinggi SKM sentiasa memandang serius isu berkenaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) atau Akta Koperasi 1993 (Akta 502) sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Sekiranya isu atau salah laku yang berlaku didapati melebihi bidang kuasa kedua-dua akta berkenaan, SKM bersedia merujuk kes tersebut kepada pihak ketiga seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, beliau menghadiri Kejohanan Golf `Tee 2 Green 2026 Piala Pengerusi SKM’  bertempat di Kelab Golf Seri Selangor, di sini.

Kejohanan anjuran Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan dengan kerjasama SKM dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) itu berjaya menghimpunkan 120 peserta daripada 27 gabungan koperasi dan agensi dari seluruh negara, termasuk perwakilan dari Pulau Pinang, Pahang, Kelantan hingga ke Sabah.

Kejohanan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Marzuki Yasoa itu bertujuan menyediakan platform perangkaian strategik, memantapkan kerjasama inter-koperasi, serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pimpinan gerakan koperasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI