IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila dipilih sebagai hab Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pemilihan PUO sebagai hab pusat kecemerlangan itu mengukuhkan lagi peranan institusi berkenaan dalam menerajui pembangunan TVET melalui kerjasama strategik antara institusi pendidikan dengan industri.
“Pusat tersebut berfungsi sebagai hab rujukan nasional bagi menyelaras, memantau dan memperkasa pelaksanaan WBL dalam rangkaian POLYCC serta memastikan latihan yang disediakan memenuhi keperluan industri serta melahirkan graduan yang bersedia memasuki alam pekerjaan.
“WBL antara pendekatan strategik untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan.
“Kejayaan WBL bukan sahaja dinilai berdasarkan kebolehpasaran graduan, malah keupayaan melahirkan bakat teknikal dan profesional berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada inovasi serta pertumbuhan ekonomi negara.
“Sehubungan itu, tiga keutamaan dalam memperkukuh pelaksanaan WBL perlu diberi penekanan iaitu pematuhan terhadap standard kualiti, peningkatan kompetensi pensyarah dan mentor industri serta pengurusan berasaskan data bagi memastikan keberkesanan program dapat dipantau secara sistematik,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat kecemerlangan tersebut bersempena POLYCC Work-Based Learning Summit 2026 di PUO, di sini.
Sementara itu, Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, pemilihan institusi itu sebagai hab Pusat Kecemerlangan WBL POLYCC merupakan pengiktirafan terhadap keupayaannya menerajui pendidikan TVET dan memperkukuh hubungan strategik dengan industri.
Menurutnya, kerjasama dengan lebih 500 rakan industri, termasuk YTL Construction, TRC, Master Builders Association Malaysia (MBAM), Micron Memory, Gamuda dan Sunway Construction, turut menyokong pembangunan kompetensi pelajar serta menyumbang kepada pencapaian kadar kebolehpasaran graduan WBL POLYCC antara 97 hingga 100 peratus.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Shamsuri Abdullah berkata, pelaksanaan WBL POLYCC kini melibatkan 25 institusi, terdiri daripada 11 politeknik dan 14 kolej komuniti di seluruh negara.
Katanya, penubuhan pusat kecemerlangan itu akan memperkukuh penyelarasan program serta memastikan latihan berstruktur di industri dilaksanakan secara lebih sistematik, berkualiti dan berimpak tinggi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


