KUALA LUMPUR – Hujan berterusan di PERAK petang ini menyebabkan kejadian banjir apabila beberapa rumah di Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1 di Titi Serong, Kerian dinaiki air.
Pegawai Daerah Kerian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Saidi Shaari berkata hasil pemantauan dan perbincangan dengan agensi di Pejabat Penghulu Parit Buntar, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Serong.
“Mangsa banjir dari kawasan terlibat akan dipindahkan ke PPS SK Titi Serong bermula 5 petang, bagaimanapun jumlah sebenar mangsa terlibat masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu di KEDAH, situasi banjir beransur pulih dengan hanya satu PPS masih beroperasi setakat 4 petang ini berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan tiga PPS di daerah Yan yang dibuka sejak Ahad dan Isnin lepas iaitu SK Teroi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Eng dan Dewan Lestari Guar Chempedak ditutup sepenuhnya pada 1 tengah hari tadi.
Sehubungan dengan itu, PPS yang masih aktif ialah Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya di daerah Pendang yang menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga petang ini, berbanding 152 mangsa daripada 65 keluarga pada sebelah pagi.
Kesemua mangsa di pusat berkenaan merupakan penduduk dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora.
Di PERLIS, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis memaklumkan jumlah mangsa banjir membabitkan penduduk Kampung Telok yang dipindahkan ke Dewan Batu 5, Kangar menurun kepada sembilan orang daripada tiga keluarga setakat 6 petang ini, berbanding 13 mangsa daripada enam keluarga pada sebelah pagi.
Dewan itu yang mula dibuka pada 1.50 pagi Isnin lepas digunakan sebagai pusat penempatan transit sementara dan setakat ini tiada PPS dibuka secara rasmi di negeri berkenaan.
Sementara itu di PULAU PINANG, hujan lebat lebih enam jam bermula 4 pagi tadi mengakibatkan banjir kilat di beberapa lokasi termasuk Taman Kota Permai, Jalan Baru, Jalan Bukit Minyak, Bandar Cassia dan Bukit Mertajam, namun tiada mangsa dipindahkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata seorang wanita warga emas berusia 75 tahun berjaya diselamatkan selepas terperangkap di kediamannya di Taman Kota Permai akibat paras air meningkat kira-kira satu kaki (0.3 meter).
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.13 pagi dan bertindak pantas menjalankan operasi menyelamat walaupun pergerakan jentera sedikit terjejas berikutan kesesakan lalu lintas.
“Mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan pemantauan lanjut mendapati paras air beransur surut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.42 pagi,” katanya.
— BERNAMA


