Anugerah Khas Pendidik suntik semangat terus berbakti

IPOH – Pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Pendidik 2026 menjadi pembakar semangat buat tokoh pendidikan Islam di Perak untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pendidikan agama di negeri ini.

Penerima anugerah, Pengetua Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Maahad Al-Islah, Teluk Intan, Agus Lokman Sulam, 58, berkata penghargaan itu amat bermakna buat dirinya selepas lebih tiga dekad menabur bakti dalam dunia pendidikan Islam.

Beliau yang menyandang jawatan pengetua sejak dari tahun 2004 itu berkata, keikhlasan dalam mendidik serta niat untuk membangunkan masyarakat menjadi pegangan utamanya sepanjang berkhidmat.

“Anugerah ini memberikan satu semangat kepada saya secara peribadi, selepas 33 tahun dalam dunia pendidikan, untuk terus memberikan sumbangan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, cabaran menguruskan sekolah agama rakyat khususnya di kawasan luar bandar memerlukan komitmen berterusan serta sokongan komuniti setempat.

Agus berkata, sokongan masyarakat terhadap sekolahnya turut membantu meningkatkan keupayaan institusi berkenaan dalam menyampaikan pendidikan Islam kepada pelajar.

Beliau yang menguruskan sekolah dengan kira-kira 80 pelajar serta 21 kakitangan dan tenaga pengajar itu berkata, pendidik perlu sentiasa menyesuaikan pendekatan dengan keperluan generasi muda masa kini.

“Anak-anak sekarang bukan seperti generasi saya dahulu, jadi mereka memerlukan pendekatan yang berbeza dalam pengajaran.

“Dan pada masa sama, saya sendiri masih belajar serta terus belajar untuk menyampaikan bukan sahaja ilmu, tetapi juga rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.

Anugerah Khas Pendidik 2026 penerima Anugerah Khas Pendidik, tokoh pendidikan Islam Perak, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak 2026 Agus Lokman Sulam Mohd Zulkhairi Mohd Nor tokoh pendidikan Islam Perak Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak 2026 sumbangan pendidik sekolah agama rakyat
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Khas Pendidik kepada Mohd Zulkhairi Mohd Nor pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OKTOBER 2026.

Sementara itu, seorang lagi penerima, bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohd Zulkhairi Mohd Nor, 58, berkata, keikhlasan dan usaha melaksanakan amanah sebaik mungkin menjadi prinsip sepanjang tiga dekad dalam bidang pendidikan.

Beliau yang bersara kira-kira dua tahun lalu pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Izzuddin Shah selama 12 tahun sebelum meneruskan khidmat di JAIPk.

Kata beliau, perjuangan ulama terdahulu dalam menyebarkan ilmu Islam menjadi inspirasi untuk dirinya terus menyumbang kepada perkembangan pendidikan agama.

“Kita mungkin tidak mampu menandingi jasa ulama terdahulu, tetapi kita cuba melakukan sedaya upaya untuk menyediakan landasan yang baik supaya pendidikan Islam terus berkembang,” katanya lagi.

Mereka menerima Anugerah Khas Pendidik 2026 pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 2026 yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini, pada Khamis. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan sampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak 2026

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI