TELUK INTAN – Polis merampas 18 mesin yang disyaki digunakan untuk kegiatan perlombongan mata wang kripto bitcoin secara haram menerusi serbuan di dua premis berasingan di daerah ini, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula lewat malam Selasa hingga awal pagi Rabu.
Katanya, operasi itu dijalankan susulan maklumat risikan berhubung kegiatan mencuri bekalan elektrik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis disyaki mempunyai sambungan bekalan elektrik yang dibuat secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kedua-dua premis didapati berkunci ketika serbuan dijalankan sehingga pasukan operasi terpaksa membuka pintu pagar secara paksa bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
Kok Lian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Kesemua barang kes yang dirampas telah dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik premis serta individu yang bertanggungjawab terhadap kegiatan tersebut,” katanya lagi.
Jelas beliau, kerjasama TNB turut diperoleh bagi mengesahkan kaedah penyambungan bekalan elektrik yang digunakan, selain menentukan jumlah kerugian yang terlibat. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Rumah kedai kosong jadi ‘lombong’ Bitcoin haram


