Inovasi pelajar PUO tingkat kualiti hidup pesakit

IPOH – Inovasi empat pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) membuktikan keupayaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menghasilkan penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, kejayaan itu dibuktikan melalui penyerahan produk inovasi ‘Alat Pembuka Penutup Tangki Bahan Api untuk Individu yang Mempunyai Kekuatan Genggaman Tangan Terhad‘ kepada Unit Terapi Cara Kerja, Hospital Taiping.

Menurutnya, PUO sentiasa menggalakkan pelajar menghasilkan inovasi berasaskan keperluan sebenar pengguna.

Kerjasama dengan Hospital Taiping membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu kejuruteraan bagi menghasilkan produk yang berpotensi meningkatkan kualiti hidup dan keberdikarian individu yang memerlukan

“Alat yang dihasilkan itu mampu membantu individu yang mempunyai kekuatan genggaman tangan terhad membuka penutup tangki bahan api kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Unit Terapi Cara Kerja Hospital Taiping merangkap Ketua Bidang Negeri Perak Profesion Terapi Cara Kerja, Zuraidah Rambli berkata, kerjasama tersebut berpotensi membantu meningkatkan keberdikarian individu yang mempunyai keterbatasan genggaman tangan.

“Produk ini akan digunakan dalam sesi terapi, manakala sebahagiannya akan diberikan terus kepada pesakit yang memerlukan bagi memudahkan aktiviti harian mereka,” katanya.

Salmi berkata, produk berkenaan dihasilkan empat pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, iaitu Nur Adriana Iman Mohd Harman, Siti Zubaidah Abdullah, R. Chanjey dan R. M. Sutharsanan di bawah bimbingan Dr. Nur Raihana Sukri.

“Projek ini telah meraih Johan Kategori Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Johan Inovasi pada MEDSPEC JKM 2026, serta Johan Kategori Teknikal pada Applied Project Excellence Exhibition (APEX) PUO 2026.

“Projek berkenaan turut menghasilkan dua kertas penyelidikan dan satu harta intelek dalam bentuk hak cipta,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI