PSM gesa bebaskan Pengerusi termasuk tiga yang lain

IPOH – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa supaya Pengerusinya, Dr Micheal Jeyakumar dan tiga yang lain dibebaskan selepas mereka ditahan sewaktu cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun, di sini, pada Selasa.

Tiga lagi ahli jawatankuasa PSM, yang ditahan adalah R. Karthiges; anggota Pemuda PSM Perak, P Kesavan dan seorang petani, Ho Pon Tien.

Difahamkan, pagi ini sekumpulan petani bertelagah dengan pegawai penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Perak dan polis, cuba mengusir mereka secara paksa di ladang kawasan berhampiran.

Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan mendakwa, aktivis PSM Chong Yee Shan, mengalami kecederaan di bahagian mulut dan hidungnya selepas mendakwa ditolak oleh anggota Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak di kawasan tersebut.

Menurutnya, bantahan itu dibuat selepas kerajaan negeri didakwa gagal menepati janji untuk memberi tanah gantian seluas 0.8 hektar untuk dipajak bagi tempoh 30 tahun.

“Di kawasan Kanthan terdapat hampir 200 lebih petani yang menanam pelbagai tanaman makanan untuk pasaran tempatan dan penduduk.

“Sejak 2012, petani terbabit dijanjikan perjanjian pajakan oleh Perbadanan Kerajaan Negeri Perak (PKNP) di lokasi alternatif iaitu Perak Hi-Tech Park.

“Mereka ditawarkan tanah gantian seluas 2 ekar (0.8 hektar) untuk dipajak untuk tempoh 30 tahun.

“Tetapi kerajaan Perak gagal melaksanakan janji ini dan kini terpaksa mengusir petani secara paksa menggunakan seksyen 425 Kanun Tanah Negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, enam petani yang berhadapan dengan pengusiran hari ini, menerima notis bertarikh 13 Oktober lalu memaklumkan bahawa ladang mereka terletak di atas tanah milik PKNP dan diarah mengosongkan tapak itu dalam tempoh seminggu. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI