Saya tahu aplikasi tempatan itu ada kelemahan, gunakan yang lain dahulu – PM

KUALA LUMPUR – “Janganlah rakyat kita sendiri (turut menghentam). Walaupun saya tahu aplikasi tempatan itu ada kelemahan, gunakan yang lain dahulu. Sabarlah sekejap”.

Itu respon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kritikan terhadap aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang dipromosi kerajaan sebagai alternatif menggantikan Waze.

Apa pun beliau menegaskan tidak akan membenarkan kerajaan menyerahkan maklumat kepada Israel melalui penggunaan aplikasi navigasi Waze.

Beliau berkata, isu berkenaan sudah dijelaskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri termasuk persoalan sama ada kerajaan sanggup menyerahkan maklumat kepada pihak yang tertakluk kepada undang-undang Israel.

“Saya sudah terangkan dalam Jemaah Menteri tadi. Pimpinan DAP, Gobind Singh (Menteri Digital) dan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) pun setuju sebab mungkin DAP, dia tak tahu.

“Katalah kita susah sikit, benar. Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, Ampang hari ini.

Anwar mengulas gesaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kepada kerajaan supaya mengkaji semula larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam selain mempertikaikan ketiadaan bukti kukuh yang menunjukkan platform berkenaan mengancam keselamatan negara.

DAPSY dalam kenyataan semalam mendesak Anwar dan kerajaan supaya mengguna pakai pendekatan yang lebih pragmatik dan telus berhubung isu keselamatan siber.

Sayap pemuda DAP itu berkata, Waze sudah diguna pakai secara meluas oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama namun orang ramai masih belum dikemukakan dengan bukti mencukupi aplikasi itu menjejaskan keselamatan negara atau menyalahgunakan data pengguna.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keselamatan negara menjadi keutamaan kerajaan dalam isu penggunaan aplikasi tersebut termasuk kebimbangan terhadap kemungkinan maklumat peribadi dan negara terdedah kepada Israel.

Ujarnya, keputusan mengarahkan penggunaan alternatif kepada Waze dibuat selepas semakan awal mendapati perjanjian penggunaan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang Israel.

Tambahnya, beliau tidak mahu kerajaan mengambil risiko terhadap keselamatan maklumat negara semata-mata kerana aplikasi alternatif tempatan masih mempunyai kelemahan dari segi keupayaan dan kelengkapan.

“Kalau agak menyusahkan beberapa orang, saya minta maaf tetapi, bagi saya, keselamatan negara lebih penting,” tegasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memahami tindakan itu menerima kritikan kerana dianggap terburu-buru namun menegaskan, isu berkenaan perlu dilihat dari sudut keselamatan negara bukan semata-mata kemudahan pengguna.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak berkompromi dalam soal keselamatan maklumat hanya kerana aplikasi alternatif tempatan belum secanggih Waze.

Katanya, kerajaan sudah meminta semakan dibuat terhadap perjanjian penggunaan aplikasi berkenaan serta lokasi pangkalan operasinya dalam mesyuarat keselamatan siber baru-baru ini.

Anwar berkata, kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi lain yang berpangkalan di Malaysia buat sementara waktu, walaupun terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Kita baiki. Lebih baik selamat daripada menyerahkan maklumat peribadi dan negara kepada Israel,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menilai keupayaan alternatif yang tersedia sebelum membuat keputusan lanjut mengenai penggunaan Waze pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, sekiranya keupayaan aplikasi tempatan didapati memadai, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah untuk menghentikan penggunaan Waze sepenuhnya.

Anwar mengakui kelemahan aplikasi alternatif tempatan boleh menimbulkan kesulitan kepada pengguna namun menegaskan, perkara itu tidak seharusnya mengatasi kepentingan keselamatan negara.

Beliau turut mengaitkan langkah itu dengan pendirian tegas Malaysia menentang rejim Zionis Israel sambil mengingatkan kemungkinan tindakan kerajaan tersebut menerima kritikan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI