KUALA KANGSAR – Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) disasarkan menjadi hab masakan ikan sungai di Perak, sebagai usaha mengetengahkan keunikan hidangan tempatan kepada pengguna lebuh raya.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A. Manap berkata, usaha itu mengambil inspirasi daripada R&R Temerloh di Pahang yang terkenal dengan hidangan berasaskan ikan patin, bagi menjadikan R&R Sungai Perak sebagai destinasi persinggahan untuk menikmati masakan ikan sungai.

Menurutnya, peniaga di kiosk makanan di kawasan R&R berkenaan digalakkan menawarkan pelbagai menu berasaskan kepada hasil perikanan tempatan bagi menarik lebih ramai kehadiran pengunjung.
“Kalau di Temerloh, pengunjung boleh menikmati masakan ikan Sungai Pahang, jadi mengapa tidak kita kembangkan perkara yang sama di Perak dengan mengetengahkan masakan ikan sungai negeri ini khususnya dari Sungai Perak.
“Perak merupakan antara pengeluar utama hasil perikanan negara, termasuk ikan air tawar dan ikan laut, jadi kita mahu pengunjung yang singgah di R&R ini turut berpeluang menikmati hidangan berasaskan ikan sungai tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Fiesta Ikan Perak 2026 di R&R Sungai Perak arah selatan, di sini, pada Jumaat.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyempurnakan pelepasan 12,000 benih ikan baung dan 500 benih ikan ke Sungai Perak sebagai gimik perasmian program.
Fiesta Ikan Perak 2026 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 15 November ini di lokasi sama, manakala aktiviti promosi masakan ikan sungai akan diteruskan setiap hujung minggu selama sebulan bermula hari peluncuran.
Mohd Ghazali berkata, penganjuran kali ketiga itu turut memberi peluang kepada pengusaha makanan meneroka resipi berbeza bagi meningkatkan daya tarikan hidangan berasaskan ikan sungai.

Beliau berkata, selain masakan berasaskan tempoyak, antara hidangan yang boleh diketengahkan ialah ikan loma pindang yang dibungkus dengan daun senia, rendang kerang, ikan tilapia serta masakan ikan kukus ala Hong Kong.
“Kita mahu pengusaha makanan di R&R mengambil idea dan resipi yang diperkenalkan untuk dijadikan menu utama di premis masing-masing.
“Usaha ini sekali gus dilihat dapat membantu mempromosikan R&R Sungai Perak sebagai destinasi persinggahan wajib kepada para pengguna lebuh raya bagi menikmati masakan ikan Sungai Perak,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, penganjuran fiesta berkenaan turut bertujuan memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta memastikan kelestarian sumber perikanan negeri.

Kata beliau, program itu turut menyediakan platform untuk mempromosikan produk agro makanan berasaskan perikanan keluaran usahawan tempatan, termasuk produk yang dibangunkan melalui Bantuan Peningkatan Peralatan dan Pembungkusan Usahawan Hasilan Perikanan Negeri Perak 2026.
Mengulas tentang pelepasan benih ikan baung dan temoleh yang dijalankan pada program berkenaan, Mohd Zolkafly berkata, ia sebagai usaha menambah stok perikanan, meningkatkan populasi ikan dan memelihara kepelbagaian biodiversiti akuatik.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak untuk menguruskan sumber perikanan darat secara berterusan, selain memastikan bekalan ikan tempatan dapat dipelihara untuk jangka panjang,” jelasnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Pekasam ikan loma permata Gerik


