PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang apabila Indeks Pelopor (IP) meningkat 2.2 peratus pada Ogos 2026, sekali gus memberikan isyarat positif terhadap prospek ekonomi negara.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam penerbitan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan, Ogos 2026 memaklumkan IP meningkat kepada 115.9 mata berbanding 113.4 mata pada bulan sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu antara lain disokong peningkatan 18.7 peratus dalam Import Benar Semikonduktor mencerminkan potensi sokongan daripada industri berorientasikan eksport serta permintaan global terhadap komponen teknologi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Ahmad berkata, arah aliran jangka panjang IP turut melepasi paras trend kepada 100.2 mata pada Ogos 2026.
“Perkembangan itu mencerminkan prospek pengembangan ekonomi Malaysia yang berterusan, disokong unjuran pertumbuhan ekonomi negara positif, pemulihan industri berorientasikan eksport serta permintaan global terhadap semikonduktor.
“Permintaan itu khususnya berkaitan keperluan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan dalam sektor teknologi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, prestasi beberapa komponen IP lebih sederhana, terutama Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan mengimbangi sebahagian momentum pertumbuhan berkenaan.
“Pada asas bulanan, IP meningkat 0.2 peratus, disumbangkan pertumbuhan 0.7 peratus dalam Bilangan Syarikat Baru Didaftar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa turut mencatatkan pertumbuhan tahunan 1.9 peratus kepada 131.4 mata pada Ogos 2026 berbanding 128.9 mata pada bulan sama tahun lalu.
“Peningkatan itu didorong pertumbuhan 9.9 peratus dalam Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Namun, pada asas bulanan, IS susut secara marginal 0.1 peratus berikutan penurunan 0.2 peratus dalam Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


