Polis sahkan Ustaz Wadi Annuar terbabit kemalangan, dibenarkan pulang dari hospital

GERIK – Polis mengesahkan penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar, antara lapan individu terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Bezza serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

“Kemalangan itu melibatkan lapan individu, dengan empat mengalami kecederaan manakala empat lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan antara individu yang terlibat ialah seorang penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik telah hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian.

“Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan Toyota Vellfire yang berada di belakang kenderaan berkenaan,” katanya.

Ujar beliau, akibat kejadian itu, dua penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan, masing-masing patah tangan kiri dan pendarahan pada bahagian kepala.

Beliau berkata, dua penumpang Toyota Vellfire pula mengalami luka pada bahagian bibir serta mengadu sakit pada bahagian dada.

“Semua mangsa yang cedera diberikan rawatan di Hospital Gerik sebelum dua daripada mereka dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Namun Ustaz Wadi Annuar atau Mohamad Wadi Annuar Ayub telah dibenarkan pulang dari hospital selepas selesai menerima rawatan,” katanya lagi.

Mohd Alwi berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah berselekoh, basah selepas hujan dan gelap tanpa sebarang pencahayaan lampu jalan.

“Walau bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu, khususnya ketika melalui jalan berselekoh dalam keadaan hujan atau permukaan jalan licin.

“Pemandu juga diingatkan supaya mengurangkan kelajuan, memastikan kenderaan sentiasa berada dalam kawalan serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu laman Facebook Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran memaklumkan penceramah itu berada dalam keadaan stabil selain mengalami kecederaan ringan susulan terbabit kemalangan jalan raya di Gerik.

“Kami memohon jasa baik semua agar memberi ruang kepada beliau untuk berehat. Buat sementara waktu, beliau belum menerima kunjungan ziarah. Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua,” tulis hantaran itu lagi. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Trafik sesak, kemalangan tiga lori di PLUS berhampiran Menora

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI