KKDW kenal pasti tiga syarikat berpontensi beli Semarak20

KUALA KANGSAR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah mengenal pasti tiga agensi atau syarikat yang berpotensi untuk membeli bangunan projek komersil Semarak20 milik Felcra Berhad (Felcra) yang terletak di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjualan bangunan tersebut adalah usaha yang dilakukan susulan teguran oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pinjaman diberikan kerajaan kepada Felcra bagi tujuan pembinaan bangunan berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Felcra adalah sebuah anak syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan diletakkan di bawah KKDW kerana ia terkait dengan soal untuk memaju dan menyatukan tanah-tanah yang dibangunkan secara kelompok bagi projek-projek pertanian.

“Benar bahawa pinjaman yang dibuat oleh Felcra itu adalah pinjaman daripada kerajaan dan antara pinjaman itu termasuklah membina bangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Saya telah mendapat sekurang-kurangnya tiga agensi ataupun syarikat yang berpotensi untuk membeli bangunan yang siap itu dan tidak diduduki. Oleh kerana kos pembinaannya agak mahal, tentunya kita mahu menjualnya pada harga pasaran.

“Penjualan bangunan itu, diharap dapat membayar  hutang-hutang yang dibuat oleh Felcra pada kerajaan.

“Justeru, saya mengambil tanggungjawab untuk membetulkan akaun dan pelaburan yang ada pada Felcra sekarang ini sebagai menteri yang bertanggungjawab ketika ini, walaupun laporan tersebut dibuat oleh menteri-menteri sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Datuk Azian Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid ketika diminta mengulas sama terdapat sebarang jawatankuasa dibentuk bagi memperhalusi lima syor yang dikemukakan PAC itu, beliau berkata jawatankuasa sedemikian sudah lama dibentuk baik di peringkat KKDW malah peringkat dalaman Felcra sendiri.

“Kita di kementerian sudah bentuk lama (jawatankuasa) malah Felcra sendiri secara dalaman juga sudah lama membentuknya disebabkan ini masalah pengurusan terdahulu.

“Saya juga sudah melakukan beberapa kali penelitian dan perbincangan bersama-sama dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan anak-anak syarikat di bawah Felcra,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengarahkan KKDW serta FELCRA melaporkan kepada PAC setiap tiga bulan berhubung status pembayaran hutang bagi projek Menara Semarak20.

Ia juga merupakan antara lima syor dikemukakan kepada kerajaan untuk memantau isu hutang ditanggung FELCRA Berhad serta anak-anak syarikatnya.

Dilapor, kerajaan sudah memberikan pinjaman RM544 juta kepada Felcra untuk pembangunan projek komersial Semarak20.

Bagaimanapun, turut dilapor bahawa isu hutang pinjaman ditanggung Felcra serta anak-anak syarikat yang berjumlah keseluruhan RM1.532 bilion selepas distruktur dan dijadualkan semula selama 35 tahun dengan kelulusan Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2021. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PRU16: Tidak timbul isu pertindihan kerusi BN-PH

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI