TELUK INTAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari ke atas dua lelaki selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi penjelasan munasabah memiliki dua karung guni berisi 40 biji kelapa.
Tertuduh, V Supramany, 50, dan Muhammad Amir Rashid Masri, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan bersama dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret T Ashvinii.
Dua sahabat itu didakwa memiliki dua karung guni berisi 40 biji kelapa yang mana mereka tidak dapat memberi penjelasan dengan memuaskan bagaimana mereka mendapatkan harta tersebut yang disyaki peroleh secara curang.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Kelapa Alpha Bernam, Hutan Melintang dekat sini jam 8 malam, 12 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum di bawah akta sama iaitu denda RM1,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y100 ditahan pengawal keselamatan di tepi jalan di ladang berkenaan.
Pemeriksaan menemukan 40 biji kelapa yang disyaki dicuri sebelum pengadu membuat laporan polis.
Tangkapan dibuat selepas tertuduh gagal memberikan penjelasan yang munasabah berkaitan pemilikan barang tersebut.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.- MG Perak
Artikel Berkaitan: