IPOH – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud atau ‘job scam’ melalui serbuan Ops Khas di dua rumah di Taiping pada Rabu lalu.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam serbuan sekitar jam 1.30 tengah hari itu, polis menahan 11 individu berusia 21 hingga 29 tahun termasuk seorang wanita yang mengandung.
Katanya, sindiket penipuan melalui media sosial yang baru beroperasi selama dua minggu itu menyasarkan mangsa tempatan dan Singapura.
Menurut beliau, aktiviti berkenaan beroperasi dengan membuka pusat operasi yang dinamakan sebagai ‘calling center’ atau pusat panggilan.
“Dalam serbuan berkenaan, pihak polis berjaya merampas pelbagai barang serta kelengkapan peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pusat panggilan itu.
“Ia termasuk 98 kad mesin juruwang automatik (ATM), 35 unit telefon bimbit, tujuh unit komputer riba, empat jongkong emas serta lima kenderaan yang kesemuanya bernilai RM500,000,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Jumaat.
Tambah Azizi, melalui penumpasan aktiviti haram itu pihaknya yakin telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 130 kes penipuan pekerjaan tidak wujud di seluruh negara.
“10 suspek yang ditangkap telah direman empat hari sehingga Ahad ini manakala seorang lagi suspek yang hamil pula direman sehari.
“Sementara itu, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti atau mengesan dalang di sebalik sindiket ini,” jelasnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Justeru Azizi meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket tawaran pekerjaan yang tidak berdaftar dengan agensi kerajaan khususnya di media sosial.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak sesekali menekan pautan dan muat turun apa-apa aplikasi yang tidak diketahui sumbernya.
“Jangan sesekali membuat pembayaran bagi pihak orang lain yang tidak dikenali kerana ini mungkin boleh menyebabkan seseorang boleh terjebak dalam membantu sindiket aktiviti pengubahan wang haram. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas kerugian RM2.2 juta angkara penipuan pelaburan saham