SAR Jaslinda diteruskan dalam skala kecil – Polis

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih sejak 10 hari lalu, diteruskan dalam skala kecil.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan SAR dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, yang berlangsung pada Rabu.

Katanya, SAR yang diteruskan dalam skala kecil berkuat kuasa pada Khamis hanya akan melibatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) SAR Orang Hilang.

“Apabila keputusan untuk mengecilkan operasi SAR, ia akan dilaksanakan JBPM dengan dibantu penduduk tempatan dan juga malim gunung atau pihak bukan kerajaan (NGO).

“Walau bagaimanapun, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut berkaitan kes kehilangan mangsa di kawasan Gunung Batu Putih.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah melalui talian 05- 4015222,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Operasi SAR Mangsa Hilang Gunung Batu Putih di IPD Tapah, di sini pada Rabu.

Abdul Malik berkata, seramai 116 sumber manusia telah digerakkan sepanjang operasi yang berlangsung sejak dari 24 Mei lalu, dengan membabitkan pelbagai agensi, jabatan, malim gunung, sukarelawan serta penduduk setempat.

Beliau berkata, susulan keputusan pengecilan SAR, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Batu Tujuh Kuala Woh akan ditutup, selain 13 individu yang terlibat dalam pendakian bersama mangsa akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut Abdul Malik memberitahu, faktor geografi lokasi dan keselamatan antara perkara yang diberi pertimbangan bagi meneruskan SAR dalam skala kecil.

“Sebanyak 98 peratus kawasan Gunung Batu Putih telah kita lakukan pencarian, dan sepanjang SAR, ada beberapa anggota termasuk dari bomba yang mengalami kecederaan.

“Dan ini juga adalah salah satu aspek yang kita ambil kira. Kita harus merancang sebaik mungkin supaya kita tidak buat pembaziran dan tidak membahayakan anggota yang terlibat dalam pencarian,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu, dengan melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti.

Walau bagaimanapun, pendaki wanita berkenaan dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pendaki hilang: Rasa tanggungjawab dorong sukarelawan Orang Asli bantu operasi SAR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI