Ada lubang benam sekitar bandar raya Ipoh, MBI laksana kerja utiliti

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bekerjasama Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) bagi mengenal pasti lokasi lubang benam (sinkhole) di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KUDR dan tempoh percubaan untuk syarikat tersebut melaksanakan kerja-kerja berkaitan utiliti telah bermula sejak 1 Julai lalu sehingga 31 Disember tahun ini.

Menurutnya, selepas lokasi lubang benam itu dikenal pasti, pihaknya akan merujuk kepada pakar iaitu Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.

Tambahnya, beberapa lokasi titik panas (hot spot) lubang benam sudah pun dikenal pasti dan usaha bagi mencarinya terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengelak berlaku kejadian seperti di Kuala Lumpur.

“Memang ada banyak (lubang benam) di sekitar bandar raya ini. Ada yang kita sudah dikenalpasti dan ada yang kita tengah cari.

“Justeru, kita bekerjasama dengan KUDR untuk mencari lubang benam serta akan melaksanakan pemantauan ketat berhubung perkara itu. Selepas tahu tempat itu (lubang benam) kita akan rujuk dengan pakar terutama JMG, kita tengok macam mana nak atasi.

“Ini disebabkan Ipoh macam Kuala Lumpur sebab bawah kita pun batu kapur, sama. Bila-bila masa kalau hujan lebat macam ini kita sama-sama berdoa supaya ia tak berlaku (lubang benam),“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan Rumaizi memberi jaminan setakat ini jalan di Ipoh masih berada dalam keadaan selamat namun bergantung kepada keadaan cuaca.

“Alhamdulillah setakat ini jalan dan tempat-tempat di Ipoh masih selamat tetapi bergantung pada cuaca kalau situasi normal tak ada masalah,” katanya.

Jumaat lalu media melaporkan seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh ke dalam kejadian lubang tanah jerlus berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

86 lokasi tanah mendap di Daerah Kinta dan Kampar dikenal pasti

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI